Menteri Ekonomi Jepun letak jawatan susulan skandal

Astro Awani
Oktober 24, 2022 06:30 MYT
Menteri Ekonomi Jepun Daishiro Yamagiwa ketika tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada Isnin bagi menyerahkan surat peletakkan jawatan. - Foto AP
TOKYO: Menteri Ekonomi Jepun, Daishiro Yamagiwa mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan selepas terpalit dengan isu kontroversi melibatkan hubungannya dengan Gereja Penyatuan atau Unification Church yang mana turut terkait dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida memberitahu bahawa pengganti Yamagiwa akan diumumkan pada Selasa.
Yamagiwa sejak beberapa hari lalu berdepan pelbagai kritikan selepas tidak dapat memberi penjelasan lanjut berhubung isu itu.
Skandal itu mendedahkan gereja itu mempunyai hubungan berdekad lamanya dengan Abe yang ditembak pada Julai lalu melalui parti yang diterajuinya iaitu Parti Liberal Demokratik.
Sokongan terhadap parti itu turut dilaporkan merosot dan diburukkan lagi dengan pengebumian Abe yang menelan kos tinggi.
Gereja yang wujud sejak 1980 itu dikatakan bertanggungjawab dengan merekrut dan menghasut orang ramai bagi melakukan pemindahan dana secara besar-besaran.
#Menteri Ekonomi #Daishiro Yamagiwa #letak jawatan #kontroversi
;