Menteri Dalam Negeri Korea Selatan letak jawatan
Bernama
Disember 8, 2024 23:00 MYT
Disember 8, 2024 23:00 MYT
SEOUL: Menteri Dalam Negeri Korea Selatan Lee Sang-min pada Ahad meletak jawatan di tengah-tengah pergolakan politik susulan pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal oleh Presiden Yoon Suk Yeol minggu lepas, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kementerian berkenaan memaklumkan bahawa Yoon menerima peletakan jawatan Lee sejurus selepas beliau menawarkan untuk meletakkan jawatan.
Lee, antara pembantu paling rapat Yoon, mengumumkan peletakan jawatannya menerusi satu kenyataan, sehari selepas parti pembangkang utama mencadangkan usul pemecatan terhadap beliau dengan undian dijadualkan Selasa ini.
Dalam sesi jawatankuasa parlimen berikutan pemansuhan undang-undang tentera, Lee dilihat mempertahankan Yoon dengan menyatakan bahawa presiden itu melaksanakan undang-undang tentera sambil mematuhi proses perlembagaan dan undang-undang.
Namun, penerimaan peletakan jawatan Lee oleh Yoon mungkin mencetuskan kritikan lanjut kerana ia dilihat sebagai penggunaan kuasa presiden. Tindakan ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin parti pemerintah, Han Dong-hoon, yang sebelum ini memaklumkan bahawa Yoon akan menjauhkan diri daripada urusan negara sehingga "pengunduran awal dan tersusun" beliau.
Pada Februari 2023, Lee digantung tugas selepas Perhimpunan Kebangsaan yang dikuasai pembangkang meluluskan usul pemecatan terhadap beliau berhubung tragedi rempuhan dalam sambutan Halloween 2022 di daerah Itaewon, Seoul, yang mengorbankan 159 orang.
Bagaimanapun, pada Julai 2023, Mahkamah Perlembagaan sebulat suara menolak usul berkenaan, sekali gus membolehkan beliau kembali bertugas sebagai menteri dengan serta-merta.
-- BERNAMA