Menteri Brazil selar kenyataan Israel gagalkan serangan Hezbollah

Astro Awani
November 10, 2023 10:00 MYT
Dino memberi teguran keras kepada Israel dengan menyatakan Brazil adalah negara berdaulat dan tiada perintah kuasa asing di sekitar Polis Persekutuan Brazil. - Foto REUTERS
RIO DE JANEIRO: Ketika mana perang antara Palestin dan Israel masih berpanjangan, kenyataan Mossad Israel bahawa agensi perisik itu telah membantu menggagalkan serangan Hezbollah di Brazil adalah insiden terbaharu yang menjejaskan hubungan antara Israel dan negara terbesar Amerika Latin itu.
Pada Rabu, Brazil menahan dua individu atas tuduhan keganasan sebagai sebahagian daripada operasi untuk menumpaskan serangan perancangan sel Hezbollah yang disyaki berada di bumi Brazil.
Mossad kemudian secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada polis Brazil dan berkata, berlatar belakangkan perang di Gaza, Hezbollah terus menyerang sasaran Israel, Yahudi dan barat.
Komen Mossad menimbulkan kemarahan Menteri Kehakiman Brazil Flavio Dino.
Pada Khamis, beliau memberi teguran keras kepada Israel dengan menyatakan Brazil adalah negara berdaulat dan tiada perintah kuasa asing di sekitar Polis Persekutuan Brazil.
Dino tidak menafikan secara jelas sebarang butiran dalam kenyataan Israel itu, tetapi berang dengan nada dan kaitannya dengan perang semasa di Gaza.
Tegas Dino, pihaknya menghargai kerjasama antarabangsa sewajarnya tetapi menolak mana-mana kuasa asing yang mengarahkan polis Brazil atau menggunakan penyiasatan mereka untuk propaganda atau kepentingan politik.
Tambahnya, siasatan Brazil tiada kaitan dengan konflik antarabangsa.
Komen Dino mencerminkan rasa tidak senang yang semakin meningkat dalam kalangan pegawai Brazil dengan tindak-tanduk Israel.
Masih terdapat kira-kira 30 rakyat Brazil terperangkap di Gaza, beberapa minggu selepas konflik bermula.
Minggu ini, Kementerian Luar Brazil memberitahu Israel, hubungan diplomatik akan menjadi tidak berkekalan jika sebarang bahaya menimpa rakyat Brazil yang terperangkap di Gaza.
#Hezbollah #Israel #Gaza #Mossad
;