Menteri Alam Sekitar Republik Dominika maut ditembak

Bernama
Jun 7, 2022 13:05 MYT
Ambulans membawa keluar mayat Orlando Jorge Mera selepas beliau ditembak di pejabatnya. - Foto REUTERS
SANTO DOMINGO: Menteri Alam Sekitar Republik Dominika, Orlando Jorge Mera, maut akibat ditembak dalam satu insiden di pejabatnya di sini pada Isnin, dipercayai dilakukan oleh "rakan baiknya", menurut pejabat presiden.
Miguel Cruz, "rakan baik Mera" telah ditahan polis, lapor Xinhua memetik kenyataan pejabat presiden.
Kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Insiden itu "sudah disiasat" dan hasil siasatan akan didedahkan kepada umum pada masa yang sesuai.
Sumber Kementerian Alam Sekitar dipetik akhbar tempatan Acento memberitahu, penyerang bertindak memasuki pejabat Mera seorang diri, lalu kedengaran enam hingga tujuh das tembakan dilepaskan.
Bangunan kementerian dikosongkan susulan insiden itu.
Mera, 55, merupakan anak kepada bekas Presiden Dominika Salvador Jorge Blanco, yang memerintah negara Caribbean itu pada 1982 dan 1986.
Beliau dilantik menjadi menteri di bawah pemerintahan Presiden Luis Abinader pada Ogos 2020.
-- BERNAMA
#Orlando Jorge Mera #ditembak #menteri alam sekitar #pejabat
;