Menjelang COP27, sukarelawan bersihkan Sungai Nil

Astro Awani
September 30, 2022 11:15 MYT
Para sukarelawan mengutip sampah di tebing Sungai Nil di Mesir, Kaherah, 29 Sept 2022. (Foto AP)
RATUSAN sukarelawan Mesir berhimpun di Kaherah dan membersihkan Sungai Nil dengan matlamat menjadikan nadi kehidupan negara itu lebih bersih, lestari dan menarik.
Proses pembersihan sungai pada Khamis itu dijalankan beberapa minggu menjelang sidang kemuncak iklim COP27 yang akan berlangsung di Mesir, November ini.
Ia melibatkan sungai di 12 bandar di Mesir, termasuk Kaherah.
Lebih 200 sukarelawan menaikkan berpuluh-puluh beg sampah yang berisi plastik dan barangan lain yang dibuang di kawasan sungai itu dan tebingnya.
Kempen pembersihan itu diketuai yayasan dikenali sebagai 'Youth Love Egypt' dengan kerjasama Palang Merah Mesir dan pihak kerajaan.
Inisiatif itu juga diharap mencipta rekod dalam cubaan pembersihan sungai paling panjang di dunia itu.
Kempen itu diharap menyuntik kesedaran pentingnya penjagaan sungai dan kesannya kepada perubahan iklim jika tidak dipelihara, menjelang sidang kemuncak yang akan berlangsung di Sharm el-Sheikh itu.
Rakyat Mesir bergantung sehingga 90 peratus bekalan dari Sungai Nil termasuk sebagai air mimuman, bagi tujuan industri dan pengairan.
#Sungai Nil #pembersihan sungai #COP27 #Mesir
;