Mengenang Stephen Hawking sebagai penghibur, pernah muncul dalam Star Trek

Agensi
Mac 14, 2018 21:40 MYT
Stephen Hawking bukan sekadar ilmuan tetapi juga mempunyai ciri humor dalam jiwanya. REUTERS / Fail
KETEPIKAN seketika Stephen Hawking yang tipikal di minda kita. Benar, kecerdasan otaknya dalam fizik dan ilmu semesta tidak mampu disangkal. Namun, Hawking juga ada sisi lain yang menarik untuk dikongsi.
Penyakit saraf ASL yang melumpuhkan anggota badannya membataskan pergerakannya. Namun, ia tidak pernah membataskan kemahuan insan luar biasa ini.
Tidak hanya mahu dikenali sebagai ‘orang akademik’, Hawking juga mahu orang ramai melihatnya sebagai insan biasa yang meminati hiburan.
Hawking pernah beberapa kali muncul dalam siri televisyen, antaranya Star Trek: The Next Generation.
Dalam babak pembukaan episod ke 26, musim ke-6 siri itu, Hawking tampil sebagai dirinya sendiri bermain poker bersama Albert Einstein, Isaac Newton dan Data.
Selain itu, Hawking juga pernah muncul dalam dua siri kartun popular ciptaan Matt Groening, The Simpsons dan Futurama.
Sisi komedi Hawking terserlah menerusi kemunculan khasnya dalam rancangan Little Britain sempena Red Nose Day 2015 yang menyaksikan kerusi rodanya bertukar menjadi robot ala filem Transformers.
Selain itu, Hawking juga pernah merakamkan satu track dalam single bersama kumpulan rock terkenal Pink Floyd. Lagu bertajuk Keep Talking itu dimuatkan dalam album The Division Bell pada 1994.
Pemergian Hawking pada usia 76 tahun hari ini meninggalkan legasi bukan hanya sebagai tokoh hebat dunia sains dan fizik tetapi juga individu yang menjalani kehidupan luar biasa sepanjang lebih tujuh dekad.
#Britain #Futurama #Isaac Newton #Pink Floyd #Star Trek #stephen hawking #Te Simpsons
;