'Mengapa pula kami perlu mohon maaf?' - Presiden Iran

Agensi
Januari 28, 2016 09:04 MYT
Hassan Rouhani tidak mahu situasi tegang antara Iran dan Arab Saudi berpanjangan. - Gambar fail
Presiden Iran Hassan Rouhani pada Rabu berharap negaranya akan menjalin hubungan baik semula dengan Arab Saudi, namun menolak untuk memohon maaf atas kejadian serangan di kedutaan Arab Saudi di Tehran.
"Kami telah lakukan apa yang perlu, kami telah mengecam insiden serangan itu. Kami juga telah menangkap pihak yang bertanggungjawab," ujarnya mengenai tindakan para penunjuk perasaan pada awal bulan ini berikutan hukuman pancung seorang ulama Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr
Tambah Hassan, ia tindakan yang perlu dilakukan, dan Iran telah melakukannya," kata Hassan.
"Mengapa kami perlu mohon maaf? Adakah kerana Nimr al-Nimr dihukum mati? Adakah kami yang perlu minta maaf kerana mereka membunuh rakyat Yemen? Minta maaf kepada mereka kerana mereka menolong pengganas?" Hassan bertanya.
Sambil menyatakan Iran tidak mahu situasi tegang yang berpanjangan dengan Arab Saudi, Hassan menegaskan bahawa tiada justifikasi kepada polisi agresif Riyadh di rantau itu.
"Mereka yang perlu mohon maaf kepada orang Islam, beratus-ratus kali," katanya.
Kerajaan Teluk itu dan beberapa sekutunya memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran selepas insiden serangan pada 2 Januari.
Iran sebelum ini mendedahkan pihak berkuasanya tekah menahan 40 orang di Tehran, dan lagi empat suspek selepas konsulat Arab Saudi dibakar pada 2 Januari lalu.
#Hassan Rouhani #hubungan diplomatik #insiden serangan #Iran #Kedutaan Arab Saudi
;