Mengapa bayar lebih, 4 lelaki sanggup makan 30 kg limau elak bayar kos bagasi

Astro Awani
Januari 30, 2021 07:07 MYT
Empat lelaki di China memilih untuk makan 30 kg limau yang dibawa dalam tempoh 30 minit bagi mengelak membayar kos bagasi tambahan. -Gambar hiasan
BEIJING: Bagi anda yang biasa mengembara menaiki pesawat, membayar lebih untuk kos bagasi tambahan mungkin bukan sesuatu yang membebankan.
Namun apa yang berlaku di sebuah lapangan terbang di Kunming, China baru-baru ini telah menarik perhatian netizen sekali gus tular di media sosial di negara itu.
Dilaporkan empat lelaki yang dalam perjalanan atas urusan bisnes mengambil jalan mudah dengan memakan 30 kilogram (kg) limau yang dibawa dalam tempoh 30 minit.
Ia bagi mengelak membayar sejumlah 300 yuan (sekitar RM188) yang dikenakan ke atas lebihan muatan yang dibenarkan bagi setiap penumpang pesawat, lapor Philippine Daily Inquirer/Asia News Network.
Difahamkan mereka diminta membayar 10 yuan (RM6.30) bagi setiap 1 kg oren yang dibawa.
Mereka bagaimanapun memilih untuk makan limau yang dibeli pada harga 31 yuan (RM31) itu kerana "tidak mampu membayar" kos tambahan tersebut.
Tindakan itu turut menyebabkan mereka mengalami ulser mulut yang teruk. Kos ubatan yang perlu dibayar mereka tidak dinyatakan.
Lebih menarik lagi, salah seorang daripada lelaki itu yang hanya dikenali dengan nama Wang berkata dia tidak mahu lagi makan oren selepas kejadian itu.
#makan 30kg oren #ulser mulut #kos bagasi #Kunming #lebihan muatan dibenarkan #enggan bayar kos tambahan #tidak mampu membayar
;