Mengaku pernah raba pembantu rumah, Presiden Filipina dikecam

Astro Awani
Disember 31, 2018 18:27 MYT
DUTERTE membuat pendedahan terbaharu ketika berucap di Manila, Filipina pada Sabtu lalu. - Gambar fail
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte mencetus kemarahan orang ramai apabila membuat pendedahan pernah meraba seorang pembantu rumah ketika usia remajanya.
Pengakuan terbuka Duterte itu mengundang kecaman netizen khususnya kaum wanita yang menyifatkan tindakan pemimpin itu sebagai percubaan pemerkosaan dan mendorong kekerasan seksual.
Duterte, 73, sebelum ini pernah menarik perhatian orang ramai khususnya ketika memberikan komen mengenai kaum wanita termasuk berseloroh mengenai isu rogol dan penzinaan.
Pendedahan terbaharu Duterte itu dibuat semasa beliau berucap dalam satu majlis pada Sabtu.
Duterte berkongsi cerita bagaimana dia menyelinap masuk ke bilik pembantu rumahnya ketika wanita itu sedang tidur.
"Saya menarik selimut. Saya berusaha menyentuh apa yang ada dalam seluar dalam pembantu itu. Sedang saya meraba, dia (pembantu rumah) itu terbangun. Lalu, saya meninggalkan bilik itu," kata Duterte tanpa berselindung dalam ucapan itu.
Pendedahan Duterte itu membuatkan parti politik yang membela hak kaum wanita, Gabriela menyifatkan pengakuan Presiden Filipina itu sebagai menjijikkan.
Serentak itu, Setiausaha Agung Gabriela, Joms Salvador menggesa Duterte agar segera mengundurkan diri kerana tindakannya itu saling tidak ubah sebagai cubaan untuk memperkosa.
“Pelakuan rogol tidak hanya berlaku melalui pelakuan persetubuhan, tetapi tindakan oral seperti menggunakan jari atau objek juga boleh dianggap sebagai cubaan merogol," tegas Jom Salvador merujuk pada kenyataan Duterte.
Dalam masa sama, sebuah lagi pertubuhan memperjuangkan hak wanita, Coalition Against Trafficking in Women-Asia Pacific berkata, kenyataan Duterte itu berpotensi membahayakan pembantu-pembantu rumah.
Berdasarkan laporan Kementerian Sumber Manusia negara itu, terdapat lebih sejuta warga Filipina bekerja di luar negara itu sebagi pembantu rumah.
Sementara itu, jurucakap Presiden Filipina itu, Salvador Panelo memberitahu, penceritaan itu realitinya bukan seperti yang diceritakan oleh Duterte.
Duterte, jelas Panelo, telah menambah elemen-elemen 'drama' dalam pengkisahan pengalaman silamnya itu.
Katanya, kenyataan Duterte itu saling tidak ubah sekadar cerita 'lawak' dan pengkisahan itu telah diambil di luar konteks.
Duterte sudah sering mencetus kontroversi dalam ucapan-ucapannya sebelum ini termasuk mendakwa gereja sebagai 'institusi paling munafik' ketika menyatakan kekesalannya pada gereja Katolik yang dikaitkan dengan tuduhan pencabulan terhadap anak-anak.
#merogol #pembantu rumah #presiden filipina #raba #remaja #Rodrigo Duterte
;