Menempuh cabaran! Tiga jejaka Indonesia ini nekad mahu ke Mekah dengan berbasikal
Astro Awani
Mei 8, 2022 14:22 MYT
Mei 8, 2022 14:22 MYT
DI MANA ada kemahuan, di situ ada jalan. Di mana ada kesungguhan, di situ mereka berharap dipermudahkan urusan.
Tiga jejaka dari Indonesia nekad mahu menjejakkan kaki ke Mekah dengan mengayuh basikal, dan kini niat perjalanan mereka itu sedang diteruskan menyusuri laluan di Malaysia.
Agensi berita Antara melaporkan, tiga sahabat itu telah tiba di Kuala Lumpur pada Jumaat (6 Mei lalu) dan sempat bertemu dengan Duta Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Hermono.
Trio itu, Andi Harvin, Chairul Ma’atini dan Muhammad Fauzan yang berusia antara 27 dan 28 tahun, menerusi jejak maklumat di media sosial, telah sampai di Johor Bahru pada 27 April lalu dari Singapura.
Pengayuh basikal jarak jauh itu sebelumnya menghabiskan masa satu bulan di Singapura melalui pelabuhan di Batam.
Ketiga-tiga mereka ternyata tidak lepas dari berdepan kekangan dalam tempoh pandemik. Dari menunggu lama di Batam kerana menunggu sempadan memasuki Singapura dibenarkan, seterusnya mereka terpaksa menunggu lagi hingga laluan masuk ke Malaysia dibuka untuk kedatangan dari Singapura.
Andi dan Chairul berlepas dari Gorontalo sejak Jun 2021, sementara Muhammad Fauzan bergerak dari Magelang sejak November 2021.
Andi dan Chairul setakat ini telah menempuh laluan berbasikal sejauh 4,000 kilometer (km) dari Gorontalo, sementara Fauzan menempuh jarak 2,000km dari Magelang.
Menurut Andi, seperti dilaporkan Kompas.com, dia nekad ke Mekah dengan menaiki basikal berbekalkan pengalamannya sebagai anggota Mapala Benua (unit kegiatan mahasiswa) di Universitas Negeri Gorontalo.
Dia lantas memberanikan diri untuk menempuh perjalanan jauh ke Mekah dengan berbasikal dan kelengkapan seadanya.
Sepanjang perjalanan, mereka memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual baju-T yang tertera tulisan “Muslim Youth Journey”. Tentang penginapan pula, mereka memiliki jaringan kenalan yang membolehkan mereka beristirahat dan bermalam di kediaman warga tempatan.
Mereka juga berkesempatan menyambut hari raya dan menunaikan solat Aidilfitri di salah sebuah kampung di kawasan ladang kelapa sawit di Malaysia.
Sepanjang perjalanan, mereka kerap berkomunikasi dengan komuniti basikal antarabangsa di negara yang mereka jelajahi.
Itu memudahkan urusan mereka mendapatkan maklumat tentang laluan berbasikal merentas negara, termasuk hentian-hentian yang khusus hingga ke Songkhla, Thailand.
Andi, memetik laporan Kompas.com, mengaku menghadapi banyak cabaran sepanjang perjalanan mereka, antaranya seperti rak bekal bahagian depan basikalnya patah akibat terlebih beban, hinggalah ke tayar yang bocor di Malaysia kerana terlanggar pecahan kaca dan kawat.
Ketiga-tiga mereka berharap dapat tiba di Mekah dengan selamat dan menunaikan hajat untuk menyempurbakan ibadah haji pada Julai 2022, seterusnya kembali ke Indonesia dalam keadaan selamat dan sihat.
Semoga perjalanan mereka dipermudahkan dan selamat tiba di destinasi!