Mendepani cabaran Global: Strategi Prabowo untuk kestabilan dan kemakmuran

Bernama
Oktober 10, 2024 23:55 MYT
Prabowo merancang untuk membina kerajaan yang kuat dengan membentuk gabungan besar, menegaskan bahawa keluasan Indonesia memerlukan kabinet yang besar bagi mewakili pelbagai kumpulan. - Gambar fail/REUTERS
JAKARTA: Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto menekankan kepentingan peralihan kepimpinan dan menggariskan visinya untuk masa depan negara pada BNI Investor Daily Summit 2024. Beliau menegaskan keperluan kerjasama dan sara diri untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
Dalam ucapannya pada penghujung Sidang Kemuncak dua hari di sini, Rabu beliau berkata: "Dalam tempoh peralihan ini, saya berasa amat disokong oleh Presiden Joko Widodo dan pasukannya. Semasa saya sedang menyusun kabinet baharu, saya dapati ramai menteri yang bakal dilantik juga adalah sebahagian daripada kabinet semasa."
Bekas jeneral tentera itu bersama Naib Presiden Terpilih, Gibran Rakabuming Raka akan dilantik pada 20 Oktober untuk penggal 2024-2029, menggantikan Presiden Joko Widodo dan Naib Presiden Ma'ruf Amin.
Prabowo merancang untuk membina kerajaan yang kuat dengan membentuk gabungan besar, menegaskan bahawa keluasan Indonesia memerlukan kabinet yang besar bagi mewakili pelbagai kumpulan. Beliau juga menekankan keperluan kerjasama untuk memastikan kestabilan politik di tengah-tengah ketegangan geopolitik global.
Beliau mengakui keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini, merujuk kepada konflik di Ukraine, potensi ancaman nuklear, situasi di Gaza yang boleh merebak ke Lubnan dan Iran, serta ketegangan yang meningkat di Taiwan, antara China dan Jepun, dan di Laut China Selatan.
"Saya sentiasa mahu terlibat dalam dialog dan memupuk kerjasama. Ajaran kuno bahawa 'seribu kawan terlalu sedikit, satu musuh terlalu banyak' bukan sekadar slogan, ia adalah prinsip yang saya pegang," katanya sambil mengukuhkan komitmennya terhadap pendekatan kolaboratif.
Prabowo menyatakan keperluan mendesak untuk Indonesia menjadi negara yang berdikari dalam pengeluaran makanan dan menekankan kepentingan kedaulatan makanan kerana sesebuah negara harus mampu memberi makan kepada rakyatnya tanpa bergantung kepada import.
Beliau mengimbas kembali amarannya mengenai bahaya kebergantungan kepada import, terutamanya semasa pandemik COVID-19, apabila negara seperti India, Vietnam, Thailand dan Kemboja menghentikan eksport makanan.
"Kita tiada pilihan selain menjadi negara yang berdikari dalam pengeluaran makanan," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa matlamat itu boleh dicapai dalam tempoh empat tahun selepas beliau memegang jawatan pada 20 Oktober.
Prabowo yang menyedari keperluan mendesak untuk berdikari dalam soal tenaga, turut menyatakan bahawa kebergantungan kepada import bahan api adalah tidak mampan dan menimbulkan kebimbangan mengenai ramalan serangan Israel ke atas medan minyak Iran serta ancaman Iran terhadap sekutu Amerika Syarikat. Beliau bertanya "Bolehkah kita bayangkan harga minyak jika itu berlaku?"
Beliau juga berhasrat untuk mengubah sumber asli Indonesia yang banyak seperti emas kepada produk bernilai tinggi yang boleh menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan kedudukan pasaran global negara.
"Kita mesti meningkatkan ekuiti di seluruh negara dan mempunyai keberanian untuk membetulkan sistem kita, memastikan kekayaan Indonesia dinikmati oleh semua, bukan hanya segelintir pihak yang bertuah," katanya sambil menyokong subsidi bersasar dan program sosial yang berkesan untuk mengurangkan kemiskinan.
Prabowo turut memberi amaran terhadap kebergantungan kepada langkah ekonomi yang cetek dengan berkata: "Helah ekonomi terlalu perlahan; Presiden Joko Widodo telah menunjukkan campur tangan yang berkesan untuk menyokong golongan paling terkesan, membantu kami mengawal inflasi."
Akhir sekali, beliau menekankan keperluan untuk pembetulan diri, menegaskan bahawa masih terdapat banyak rasuah dan ketidakcekapan dalam sistem. Beliau menggesa "Kita mesti menghadapi cabaran ini dengan berani melalui pendekatan bersepadu dan menyeluruh, mengakui kesukaran kita, menghadapinya secara langsung dan bekerja bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya."
-- BERNAMA
#Prabowo Subianto #Presiden Terpilih Indonesia #strategi #Joko Widodo
;