Menara 'romantik' Eiffel ditutup kerana pencopet makin agresif
Agensi
Mei 23, 2015 16:03 MYT
Mei 23, 2015 16:03 MYT
Anda sangkakan impian romantis dapat dinikmati dengan selesa ketika melawat ikon kota Paris? Fikir sekali lagi.
Setelah mendapat aduan berulang kali sejak sekian lama, operasi pelancongan di Menara Eiffel tergendala seketika semalam apabila sejumlah pegawai yang bertugas di pusat pelancongan itu mogok berikutan aktiviti penyeluk saku atau pencopet yang semakin berleluasa.
Bukan sahaja semakin berleluasa, malah ada sindiket penyeluk saku berkumpulan yang sudah berani memeras pelancong dengan segala macam tipu helah.
Para pegawai Menara Eiffel mendesak pihak pengurusan atasan mereka mengambil tindakan tegas terhadap anggota sindiket itu yang semakin agresif menjalankan aktiviti mereka termasuk mengancam melakukan serangan fizikal ke atas pelancong dan pegawai pelancongan.
Seorang pegawai mendedahkan bahawa terdapat kira-kira 30 kumpulan penyeluk saku yang terdiri daripada empat atau lima orang yang aktif berkeliaran dan melakukan jenayah tersebut di sekitar kawasan legar di kaki menara tersebut.
Pegawai tersebut turut memberitahu bahawa dia sendiri pernah diancam oleh anggota kumpulan berkenaan.
“Dia mengugut saya, kalau saya mengganggu aktivitinya, maka saya bakal berdepan masalah serius,” katanya.
Penutupan Menara Eiffel pada Jumaat telah membuatkan ramai pengunjung kecewa terutamanya pelancong yang datang dari jauh semata-mata untuk melawat ikon yang popular diperkatakan di seluruh dunia itu.
Sementara itu, agensi yang bertanggung jawab menjaga keselamatan Menara Eiffel memberitahu, mereka akan menguatkan jalinan kerjasama dengan polis untuk memastikan keselamatan para pegawai dan pelancong.