Menara Eiffel kembali dibuka selepas 9 bulan ditutup

Agensi
Julai 16, 2021 12:32 MYT
Bermula Rabu depan, pengunjung perlu mengemukakan bukti mereka telah divaksinasi atau negatif saringan COVID-19, berikutan arahan terbaharu daripada kerajaan Perancis. -Gambar hiasan
PARIS: Tarikan utama bandar raya Paris, Menara Eiffel, dibuka semula hari ini selepas ditutup sejak sembilan bulan lalu akibat pandemik COVID-19.
Penutupan menara itu sebelum ini adalah paling lama sejak Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun jumlah pengunjung dihadkan kepada 13,000 sehari, iaitu separuh daripada kapasiti sebelum ini demi memastikan penjarakan fizikal dapat dilakukan.
Alarabiya News melaporkan, bermula Rabu depan, pengunjung perlu mengemukakan bukti mereka telah divaksinasi atau negatif saringan COVID-19, berikutan arahan terbaharu daripada kerajaan.
Presiden Menara Eiffel, Jean-François Martins mengakui ia menambah beban kerja pihak pengurusan, namun ia masih terurus.
"Selepas pemeriksaan keselamatan daripada kakitangan kami, akhirnya 'the lady is ready' (Menara Eiffel tersedia) kepada orang ramai," katanya.
Mengulas lanjut, Martin menjangkakan pusat pelancongan itu bakal kehilangan sepenuhnya pelancong dari Britain juga penurunan kira-kira 15 peratus pelancong dari Amerika Syarikat dan sebahagian negara-negara Asia.
"Kami yakin hampir separuh daripada pengunjung adalah dari Perancis, Itali dan Sepanyol, di mana menunjukkan sedikit peningkatan berbanding sebelum ini," jelasnya.
Menara Eiffel yang dibina pada 1889, biasanya menerima tujuh juta pengunjung setiap tahun di mana tiga perempat daripadanya adalah pelancong luar negara.
Namun sejak pandemik, pihak pengurusan menara itu mengalami kerugian 70 juta euro pada tahun ini dan 52 juta euro tahun lalu.
Perancis pada awal bulan lalu melonggarkan sekatan terhadap rakyatnya selepas mengamalkan kawalan pergerakan selama enam bulan.
#Amerika Syarikat #pelancongan #sepanyol #COVID-19 #Britain #pelancong #pandemik #Eiffel Tower #dibuka semula #SOP ketat #Jean-Fran ois Martins
;