Menara Eiffel bergelap tanda sokongan kepada rakyat Aleppo

Agensi
Disember 15, 2016 09:58 MYT
Keadaan Menara Eiffel yang bergelap sebagai tanda protes terhadap kekejaman di Syria. - Foto AFP
PARIS: Lampu yang menyinari Menara Eiffel di Paris ditutup pada Rabu bagi menunjukkan sokongan kepada rakyat Aleppo, Syria yang berdepan serangan daripada rejim pemerintah.
Monumen tersebut bergelap dari jam 8 malam waktu tempatan, dan Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo berkata ia adalah sebagai tanda protes terhadap situasi dahsyat yang dihadapi orang awam dalam bandar Aleppo.
Angkatan pejuang penentang rejim mengumumkan perancangan baru pada Rabu bagi membolehkan penduduk dipondahkan keluar dari bandar berkenaan.
Hidalgo dalam satu kenyataan sebelum lampu menara berkenaan dipadamkan, berkata, “Jalan-jalan terakhir di Aleppo yang dipertahankan kumpulan penentang rejim sudah ditembusi, lalu menyebabkan ratusan menjadi mangsa.”
Ratusan orang telah mengadakan tunjuk perasaan di Paris pada Rabu sebagai sokongan kepada rakyat Aleppo, lapor wartawan AFP.
Sesetengah daripada penunjuk perasaan mengenakan secebis kain merah sebagai simbol darah yang tumpah dalam pertempuran di bandar kedua terbesar di Syria itu.
#Aleppo #kumpulan penentang #Menara Eiffel #rejim Assad #Syria
;