Menantu Osama ditangkap penguatkuasa AS

AFP
Mac 8, 2013 00:30 MYT
Jurucakap dan menantu lelaki kepada Osama bin Laden, Sulaiman Abu Ghaith berjaya ditangkap oleh Amerika Syarikat.
Perkara ini disahkan pegawai penguatkuasaan undang-undang Amerika.
Pegawai keselamatan mengesahkan Sulaiman telah ditangkap di Jordan dan telah diserahkan kepada pegawai penguatkuasaan undang-undang Amerika minggu lalu.
Penangkapan Sulaiman itu merupakan kemenangan besar Amerika dalam kempennya memerangi kumpulan Al-Qaeda.
Sulaiman dijangka diekstradisi ke Amerika dan akan dibicara di mahkamah persekutuan di New York.
Sulaiman mula mencuri tumpuan pada lewat 2001 selepas beliau muncul dalam satu siaran televisyen menggesa umat Islam di seluruh dunia untuk menyerang Amerika Syarikat selain mengancam untuk melakukan serangan berskala besar seperti serangan 11 September.
Beliau juga terbabit dalam perancangan serangan 11 September ke atas pentagon dan Pusat Dagangan Dunia (WTC).
#Al-Qaeda #New York #Osama Laden #Sulaiman Abu Ghaith