Menantu Hassan Nasrallah terkorban dalam serangan udara Israel di Syria

Bernama
Oktober 3, 2024 08:10 MYT
Penduduk tempatan berkumpul di tapak serangan Israel yang dilaporkan di Damsyik, Syria pada Rabu. - Gambar AP
DAMSYIK: Hassan Jafar Qasir, menantu kepada pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah disahkan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kediaman di kawasan Mazzeh Western Villas, Damsyik pada Rabu, lapor Xinhua.
Serangan Israel itu menyasarkan tingkat pertama bangunan tiga tingkat yang sering menjadi lokasi kunjungan pemimpin Hizbullah dan Kor Pengawal Revolusi Iran, mengakibatkan tiga orang terkorban dan sekurang-kurangnya empat yang lain cedera dengan identiti mereka masih belum dikenal pasti, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Kementerian Pertahanan Syria memaklumkan serangan itu dilancarkan dari Bukit Golan yang diduduki Israel.
Pada 27 September lalu, Israel membunuh Sayyed Hassan Nasrallah dalam serangan udara di Beirut.
Serangan pada Rabu merupakan serangan udara kedua Israel di kawasan itu minggu ini.
Pada pagi Selasa, Israel menyasarkan sebuah lokasi kira-kira 500 meter dari kawasan serangan pada Rabu, menyebabkan tiga orang termasuk seorang wartawan terkorban dan sembilan yang lain cedera.
- BERNAMA-XINHUA
TAG: Israel, serangan, Hizbullah, menantu, terbunuh
#menantu Hassan Nasrallah #Hassan Jafar Qasir #Israel #Hezbollah
;