Memorial peringatan akan dibina di Belanda buat mangsa nahas MH17
AFP
November 27, 2015 13:46 MYT
November 27, 2015 13:46 MYT
Sebuah taman akan dibina berhampiran dengan Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam sebagai memorial memperingati mangsa-mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17.
Menurut Yayasan Bencana MH17, sejumlah 298 batang pokok mewakili setiap mangsa yang terkorban akan ditanam menjadi simbol tugu peringatan di memorial tersebut.
“Waris-waris mangsa berbesar hati memilih agar memorial kebangsaan itu dibina di Vijfhuizen, berdekatan dengan Schiphol,” kata jurucakap Yayasan Bencana MH17.
Dalam undian yang telah dilakukan sebelum ini, lebih separuh keluarga memilih lokasi tersebut.
Pokok-pokok yang akan ditanam nanti akan membentuk reben hijau gergasi, iaitu lambang yang dipakai oleh waris-waris mangsa bagi memperingati tragedi yang menggemparkan dunia pada 17 Julai, 2014 itu.
Pelancaran memorial ini dijangka pada 17 Julai 2017.
Pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
Sebanyak 298 mangsa terkorban dalam tragedi itu, termasuk 43 rakyat Malaysia.