AS Memilih: Trump ulangi dakwaan 'ditipu'

Isabelle Leong
November 6, 2020 10:22 MYT
Trump ketika berucap di White House, Washington, 5 Nov, 2020. (Foto AP)
PRESIDEN Donald Trump sekali lagi mengulangi dakwaan ‘ditipu’ dalam pilihan raya presiden, kali ini kerana, dakwanya, ia penuh dengan penyelewengan undi.
Trump berkata, beliau akan memfailkan usul mencabar pengiraan undi di negeri-negeri yang dimenangi parti Demokrat.
“Jika anda mengira undi sah, saya sudah menang.
"Jika anda mengira undi tidak sah, mereka cuba mencuri pilihan raya ini daripada kami.
“Jika anda mengira undi yang tiba lewat, kami sedang meneliti perkara tersebut,” katanya pada satu sidang media di White House pada lewat Khamis waktu tempatan.
Pemimpin Republikan itu membuat kenyataan tersebut tatkala kiraan undi masih berlangsung di beberapa negeri utama.
Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh mengenai penipuan yang didakwanya itu dan enggan menjawab soalan daripada pemberita yang hadir.
Dalam pada itu, Trump turut mengecam sistem pos pilihan raya walaupun beliau juga membuang undi menerusi undi pos di Florida.
Sementara itu, calon parti Demokrat Joe Biden, menerusi satu ciapan sebelum berlangsungnya ucapan Trump, menegaskan bahawa setiap undi mesti dikira.

The people will not be silenced, be bullied, or surrender. Every vote must be counted.

— Joe Biden (@JoeBiden) November 5, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Rakyat tidak akan didiamkan, dibuli atau menyerah kalah.
“Setiap undi mesti dikira,” katanya.
Biden juga meminta rakyat Amerika untuk bertenang kerana kiraan undi masih sedang berlangsung.
Setakat ini, calon Demokrat Joe Biden semakin hampir memperoleh 270 undi elektoral bagi membolehkannya menduduki White House untuk penggal 2020 hingga 2024.
Biden menang di negeri Wisconsin dan Michigan sekali gus menjarakkan bilangan undi elektoral 253 berbanding 214 undi elektoral yang diperoleh Trump.
Trump, sebelum ini, meminta kiraan semula undi di Wisconsin dan memfailkan saman terhadap negeri Pennsylvania, Michigan dan Georgia.
#Donald Trump #AS memilih #pilihan raya presiden #Demokrat #Joe Biden #Rumah Putih #undi elektoral #undi pos #Republikan #kiraan semula #saman #White House
;