AS Memilih: Trump fail tuntutan mahkamah di Pennsylvania, Michigan dan Georgia
Agensi
November 5, 2020 09:51 MYT
November 5, 2020 09:51 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memfailkan tuntutan mahkamah berhubung pengiraan undi di Pennsylvania, Michigan dan Georgia ketika pengiraan undi Pilihan Raya Presiden AS berlangsung.
Ia bagi menuntut akses yang lebih baik buat pemerhati kempen di lokasi di mana undi diproses dan dikira.
Tuntutan ini tercetus di kala undi Trump corot di belakang calon Demokrat Joe Biden dalam pemburuan 270 undi elektoral dalam pilihan raya kali ini.
Namun, di satu lokasi di Michigan, The Associated Press (AP) melaporkan pemerhati kempen dari kedua-dua pihak hadir melakukan pemantauan.
Bagaimanapun, AP meletakkan Biden menang di Michigan, manakala Nevada, Pennsylvania dan Georgia masih tiada keputusan.
Menurut Pengurus Kempen Justin Clark, mereka juga sedang berusaha untuk campur tangan dalam kes Pennsylvania di Mahkamah Agung dalam melihat adakah undi boleh lagi dikira sehingga tiga hari selepas pilihan raya.
Tindakan itu jelas memperlihatkan penggunaan strategi undang-undang yang sebelum ini disebut-sebut Trump, iaitu menyerang integriti proses pungutan undi di negeri-negeri yang beliau kalah.
Pasukan kempennya juga sebelum ini dilaporkan akan segera memohon supaya undi di Wisconsin dikira semula.
Dalam satu laporan, Pengurus kempen Bill Stepien menyebut ada berlaku penyelewengan di beberapa daerah di Wisconsin tetapi tiada perincian diberikan.
Biden sebelum ini mengatakan bahawa pengiraan undi harus diteruskan di semua negeri kerana itu adalah satu proses demokrasi.
Bagaimanapun pasukan kempen Biden tidak mengulas mengenai tuntutan undang-undang di Michigan atau Pennsylvania mengenai akses bagi pemerhati.
#Donald Trump
#mahkamah
#Amerika Syarikat
#presiden
#Presiden Amerika Syarikat
#Joe Biden
#The Associated Press
#Kempen Presiden Amerika Syarikat
#pilihan raya presiden
#AS memilih