AS Memilih: Persepsi buruk terhadap imigran, mampu undang kekalahan Trump - Diaspora Malaysia
Syafik Shukri Jalil
November 4, 2024 21:58 MYT
November 4, 2024 21:58 MYT
PERSEPSI buruk calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Donald Trump terhadap golongan pendatang di negara itu mampu menyumbang kepada kekalahannya pada Pilihan Raya Presiden yang akan berlangsung pada Selasa.
Ringkasan AI
- Persepsi buruk Donald Trump terhadap golongan pendatang di negara itu mampu menyumbang kepada kekalahannya pada Pilihan Raya Presiden.
- Kamala Harris banyak memfokuskan isu kebajikan golongan wanita, ekali gus menjadi nilai tambah yang mampu menyumbang kepada misinya untuk menjadi Presiden wanita pertama.
Menurut diaspora Malaysia yang juga merupakan seorang wartawan di Amerika Syarikat, Shafiq Najib, walaupun Trump menyifatkan langkah itu sebagai menyekat kemasukan penjenayah masuk ke AS, namun ramai dalam kalangan golongan pendatang yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara tersebut.
"Orang seperti saya semestinya lebih pro kepada dasar sempadan terbuka kerana saya berpendapat semua individu mempunyai kebebasan atau hak untuk mengejar impian dan cita-cita mereka.
"Pada masa sama, saya menyedari hakikat dan kebenaran yang dilaungkan Trump menerusi manifestonya yang berhasrat menyekat masuk penjenayah daripada masuk ke negara ini.
"Namun Trump perlu sedar bahawa tidak semua pendatang masuk ke negara ini secara haram dan ramai juga golongan imigran yang masuk secara sah dan banyak menyumbang kepada ekonomi negara ini,’’ katanya.
Shafiq berkata demikian sewaktu ditemui Astro AWANI di New York, Amerika Syarikat sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 pada September.
Selain itu ujarnya, perjuangan calon Demokrat, Kamala Harris yang banyak memfokuskan isu kebajikan golongan wanita pula mungkin menjadi nilai tambah yang mampu menyumbang kepada misinya untuk menjadi Presiden wanita pertama negara itu.
"Saya berpendapat manifestonya yang banyak menumpukan kepada hak-hak wanita dan memperjuangkan hak imigran mungkin akan memberi kelebihan kepada Harris,’’ tambahnya.
Terbaharu, Harris dilaporkan sudah mendahului Trump di Iowa yang dimenangi bekas Presiden itu dalam dua kali dalam pemilihan sebelum ini.
Bagaimanapun, kelebihan itu berada dalam margin kesilapan sebanyak tiga mata peratusan, menurut tinjauan terbaru oleh Des Moines Register dan Mediacom, lapor Sputnik//RIA Novosti.
Menurut keputusan tinjauan itu, Harris disokong oleh 47 peratus responden manakala Trump disokong oleh 44 peratus.
Trump sebelum ini memenangi Iowa dua kali: pada 2016, ketika beliau bertanding untuk jawatan presiden menentang Hillary Clinton, dan pada 2020, apabila pesaingnya ialah penyandang Presiden Joe Biden.
Tinjauan itu dijalankan dari 28 hingga 31 Oktober melibatkan 808 pengundi yang berkemungkinan.
Margin kesilapan ialah 3.4 mata peratusan.