AS Memilih: Pengiraan semula undi di Georgia

Astro Awani
November 11, 2020 05:56 MYT
Margin yang kecil dalam kemenangan Biden antara salah satu faktor Georgia mengambil langkah untuk mengira semula undi. - Gambar fail
Pasca Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Suruhanjaya Pilihan Raya Georgia mengumumkan akan mengira semula kesemua undi di negeri itu.
Proses tersebut dijangka bermula pada hujung minggu ini sehingga 20 November depan.
Langkah itu bagaimanapun tidak akan mengakibatkan sebarang perubahan terhadap kemenangan Joe Biden di negeri itu.
Calon Demokrat itu mendahului Presiden Donald Trump dengan 14,000 undi daripada hampir 5 juta undi secara keseluruhannya.
BACA: Trump menang di Alaska, keputusan pilihan raya AS tidak terjejas
BACA: Proses peralihan sudah bermula - Joe Biden
Menurut Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger, margin yang kecil dalam kemenangan Biden antara salah satu faktor Georgia mengambil langkah untuk mengira semula undi.
“Setakat hari ini, 97 daerah telah menyerahkan angka-angka terakhir. Margin ketika ini antara Presiden dan senator Biden adalah 14,111.
“Pejabat saya akan terus menyiasat setiap satu kes penyelewengan undi, undi sebanyak dua kali, penipuan undi, dan undi dari luar negeri. Kalau anda melaporkannya, kami akan siasat.
“Setiap undi yang sah akan dikira. Kami akan terus mengikuti dan menguatkuasakan undang-undang. keputusan diambil selepas georgia menjalankan audit pengundian, satu proses yang diwajibkan selepas undang-undang baru diluluskan pada 2019,” katanya.
Menurut ahli kongress Republikan di Georgia, Doug Collins, kem Trump turut menuntut untuk pengiraan semula undi di negeri itu.
#Donald Trump #Amerika Syarikat #pilihan raya #undang-undang #margin kecil #kira semula undi #pilihan raya presiden #Georgia #Brad Raffensperger #calon #Republikan #Demokrat #Joe Biden
;