AS Memilih: Memahami Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat
Astro Awani
November 2, 2020 07:30 MYT
November 2, 2020 07:30 MYT
PILIHAN Raya Presiden Amerika Syarikat disifatkan mencatat kelainan, berbanding sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19.
Pengundi di AS akan menentukan sama ada Donald Trump atau pencabarnya dari Demokrat, Joe Biden memperoleh jumlah undi paling banyak dalam pemilihan yang diadakan 3 November itu.
Namun, jumlah undi paling banyak atau undi popular tidak menentukan seseorang calon memenangi jawatan presiden.
Sebaliknya, calon jawatan itu akan ditentukan oleh seberapa banyak undi elektoral yang akan dimenanginya.
Ini dibuktikan pada tahun 2016, Donald Trump memenangi jawatan presiden kerana mempunyai angka majoriti undi elektoral walaupun Hillary Clinton memenangi undi popular hampir lebih tiga juta.
Sebanyak 538 diperuntukkan untuk undi elektoral di negara itu yang mana mewakili individu yang akan dipilih untuk menjadi anggota electoral college atau lembaga pemilih.
Kebiasaannya, mereka diberi kepercayaan untuk mengundi calon Presiden AS yang memengani undi paling banyak di sesebuah negeri.
Apabila pengundi membuang undi untuk pemilihan presiden November ini, mereka sebenarnya akan memilih satu pemilih electoral dari negeri mereka.
Pemilih elektoral ini kemudian akan memberikan undi untuk calon presiden yang paling banyak memenangi undi di negeri tersebut.
Inilah yang dinamakan undi electoral.
Bilangan penduduk di sesebuah negeri di AS akan menentukan berapa bilangan undi elektoral yang diperlukan dalam lembaga pemilihan itu.
Negeri California yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai di negara itu akan mempunyai bilangan pengundi elektoral seramai 55 orang manakala Texas pula ialah 38 orang dan New York serta Florida masing-masing 29 orang.
Negeri yang kurang penduduk iaitu Alaska, Delaware, Vermont dan Wyoming pula masing-masing mempunyai jumlah minimum tiga pengundi elektoral dalam lembaga pemilihan itu.
Seseorang calon memerlukan 270 undi elektoral untuk memenangi jawatan Presiden AS.
Pada kebiasaannya, keputusan undi elektoral itu boleh diketahui secara tidak rasmi selepas undi popular sesebuah negeri diketahui.
Pada Pilihan Raya Presiden AS 2016, bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang mewakili parti Demokrat memenangi undi popular menewaskan Trump.
Bagaimanapun, Trump memenangi undi elektoral iaitu sebanyak 304 undi berbanding Clinton yang memperoleh sebanyak 227 undi elektoral.
Ia disebabkan Trump memenangi undi terbanyak di kubu kuat parti Demokrat iaitu Pennsylvania, Michigan dan Wisconsin sekali gus beliau memperoleh undi elektoral di ketiga-tiga negeri berkenaan.