AS Memilih: Joe Biden mahu tumpu perkukuh perpaduan rakyat
Nursyazwani Saiful Sham
November 7, 2020 01:43 MYT
November 7, 2020 01:43 MYT
CALON Demokrat, Joe Biden yang dilaporkan menang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 kini mahu memberi tumpuan terhadap usaha menyatukan rakyat negara itu.
Biden dalam satu kenyataan ringkas selepas dilaporkan menang berkata, beliau amat berbesar hati dan menghormati kepercayaan yang diberikan kepada beliau dan Naib Presiden, Kamala Harris.
“Saya sangat berbesar hati dan merendah diri dengan kepercayaan oleh rakyat AS yang telah memilih saya dan Naib Presiden, Kamala Harris.
“Walaupun dalam keadaan yang amat mencabar, rakyat AS yang keluar mengundi merekodkan jumlah baharu. Ini membuktikan bahawa sistem demokrasi masih berpegang teguh kepada rakyat AS.
“Kini proses kempen sudah berakhir, sudah tiba masanya kita meletakkan kemarahan dan retorik kasar di belakang dan bersatu sebagai sebuah negara,” katanya.
Pada masa sama, Biden menyeru kepada seluruh rakyat negara Uncle Sam itu untuk bersatu padu.
Menerusi perkongsian di Twitter rasmi beliau pula, Biden berikrar akan menjadi seorang pemimpin buat semua rakyat Amerika sama ada yang mengundi beliau atau tidak.
Biden diunjurkan memperolehi 284 undi elektoral manakala pencabarnya, Donald Trump daripada parti Republikan hanya meraih 214 undi elektoral.
Memetik laporan AP berdasarkan unjuran yang dibuat agensi berita itu, kerusi terakhir yang dimenang Biden adalah Pennsylvania yang memberinya 20 undi elektoral.
Keputusan tidak rasmi ini menyaksikan Biden menjadi calon Demokrat pertama dalam tempoh 24 tahun untuk memenangi undi elektoral di Arizona selepas menang besar di California, New York, Minnesota dan New Hampshire yang pernah dimenangi Hillary Clinton pada 2016.
Ketika ini, pengiraan undi masih berlangsung di Alaska, Arizona, Georgia, Nevada dan North Carolina.
Biden dijangka membuat ucapannya dari Delaware pada 8 malam Sabtu waktu tempatan (9 pagi Ahad di Malaysia).
#Amerika Syarikat
#pilihan raya
#presiden
#Joe Biden
#Kamala Harris
#Naib Presiden
#AS memilih
#tumpu bersatu padu