AS Memilih: Biden ikrar penyatuan, Trump optimis menang

Astro Awani
November 3, 2020 06:22 MYT
Trump sebelum ini mendakwa proses pengundian dicemari penipuan dan enggan mengiktiraf keputusan pemilihan itu. -REUTERS
WASHINGTON: Calon Demokrat, Joe Biden berikrar akan melaksanakan penyatuan nasional sekiranya berjaya ke White House.
Tegas Biden, tiada lagi rakyat yang dilabel berdasarkan parti yang disokong, sebaliknya semua akan dikenali sebagai rakyat Amerika.
“Ini janji saya. Walaupun saya bertanding sebagai calon Demokrat, jika saya dipilih, saya akan menjadi Presiden AS.
"Tiada negeri merah atau biru, hanya Amerika Syarikat,” katanya.
Kempen pusingan akhir Biden tertumpu di negeri yang dianggap kritikal, Pennsylvania.
Demokrat juga dijangka menang selesa di kubu kuat mereka, Philadelphia.
Dalam pada itu, Donald Trump kekal optimis keputusan pilihan raya akan menyebelahinya.
Keyakinan itu disuarakan selepas menamatkan kempennya.
Hari terakhir kempen menyaksikan Trump menjelajah ke lima lokasi, sama ada dari North Carolina sehingga ke Wisconsin.
Trump kemudian membuat hentian terakhir di pejabat jawatankuasa kebangsaan Republikan, di Arlington Virginia.
“Saya langsung tidak memikirkan mengenai ucapan konsesi atau ucapan penerimaan. Harapnya kita hanya melakukan salah satu darinya. Menang adalah mudah, kalah sebaliknya, bagi saya.
“Tetapi apabila anda melihat rapat umum, seperti juga sejarah negara ini dan mungkin sejarah dunia, ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Wujud kasih sayang yang besar untuk negara ini dan ini satu penyatuan yang bermakna,” katanya.
Trump sebelum ini mendakwa proses pengundian dicemari penipuan dan enggan mengiktiraf keputusan pemilihan itu.
#Donald Trump #White House #Amerika Syarikat #pilihan raya #Joe Biden #penyatuan nasional #AS memilih
;