Memburukkan Rusia adalah peranan baharu Britain - Duta Rusia ke UK
Agensi
Mac 22, 2018 06:21 MYT
Mac 22, 2018 06:21 MYT
Rusia mendakwa usaha menghalang hubungan luar antara Moscow dan negara lain kini adalah keutamaan Britain.
Duta Rusia ke UK, Alexander Yakovenko berkata ia adalah peranan baharu yang dicetuskan Britain selepas isu Brexit-nya.
"Saya rasa Britain cuba mencari peranan baharunya, kerana selepas Brexit mereka perlu mencari keutamaan baharu untuk dasar luar negara dan setakat ini kita melihat usaha terbaharunya adalah berkaitan dengan Rusia," jelasnya dalam sidang media yang turut memberi fokus kepada dakwaan penglibatan Rusia dalam pilihan raya presiden dan isu penggunaan agen saraf ke atas bekas perisiknya.
Dalam sidang media terbabit, Yakovenko berkata Rusia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Cambridge Analytica, iaitu sebuah firma yang dituduh dalam laporan media mengenai pemungutan data lebih daripada 50 juta pengguna Facebook untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang lalu.
"Rusia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Cambridge Analytica dan saya memberitahu anda bahawa saya hanya membaca laporan rasmi yang diterbitkan dalam media British.
"Dan apa yang boleh saya katakan, kita tidak mempunyai sebarang hubungan, Rusia tidak bertemu dengan sesiapa dan satu-satunya masa saya bertemu lelaki dari Cambridge Analytica, adalah di kelab Polo Windsor untuk sebuah pertandingan dan saya adalah salah seorang jemputan," jelasnya.
Yakovenko mengesahkan beliau telah dijemput ke kelab polo Windsor, di mana penganjur memintanya memberikan hadiah yang terdiri daripada minuman keras buatan Rusia kepada ahli-ahli pasukan, sambil menambah bahawa itu adalah satu-satunya masa dia bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cambridge Analytica, Alexander Nix.
Ketika ini Cambridge Analytica telah menggantung eksekutif tertingginya berhubung kemungkinan penyalahgunaan data yang dimaksudkan.
#Alexander Yakovenko
#Amerika Syarikat
#Brexit
#Britain
#Cambridge Analytica
#Duta Rusia
#Facebook
#Media
#Moscow
#pilihan raya
#presiden
#Rusia