Memburu ular sawa Burma... Lebih 800 sertai pencarian spesies invasif di Florida

Agensi
Ogos 7, 2022 13:59 MYT
Sejak tahun 2000, lebih daripada 17,000 ular sawa telah ditangkap dari kawasan ekosistem Everglades. - AP
FLORIDA: Selama lapan hari bermula Jumaat lalu, lebih 800 peserta meredah kawasan tanah bencah Everglades di Florida, Amerika Syarikat untuk memburu spesies khusus.
AP melaporkan, mereka saling bersaing untuk menangkap spesies invasif (spesies asing) iaitu ular sawa Burma, dengan harapan mendapatkan ganjaran berupa hadiah wang tunai bernilai ribuan dolar.
Menurut pegawai acara yang berkumpul di Miami untuk merasmikan acara tahunan itu, aktiviti pemburuan ular sawa dimulakan sejak pagi Jumaat lepas dan akan berlangsung sehingga jam 5 petang waktu tempatan pada 15 Ogos.
“Acara ini sangat signifikan kerana setiap ular sawa yang ditangkap bermakna satu spesies invasif dapat dikurangkan, daripada terus menjadi pemangsa bagi burung, mamalia dan reptilia tempatan,” kata isteri Gabenor Florida, Casey DeSantis.
Sejak tahun 2000, lebih daripada 17,000 ular sawa telah ditangkap dari kawasan ekosistem Everglades.
Ular sawa Burma yang bukan haiwan asal Florida kerap menjadi ancaman kepada pelbagai spesies burung, mamalia dan reptilia tempatan lain yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat. Seekor ular sawa betina boleh menghasilkan sehingga 100 telur setahun.
Hadiah wang tunai sehingga AS$2,500 (RM11,140) masing-masing ditawarkan dalam dua kategori iaitu bagi peserta profesional dan juga peserta baharu, yang berjaya menangkap ular dalam jumlah terbanyak.
Hadiah tambahan termasuk bagi kategori ular terpanjang bagi setiap kategori. Setiap ular sawa perlu disahkan sudah mati, namun pemburu boleh dilucutkan kelayakan sekiranya mereka membunuh haiwan itu dengan cara yang tidak beretika, ataupun terbunuh spesies ular tempatan.
Setakat ini, kesemua peserta mewakili 32 negeri dan juga dari kanada. Pendaftaran baharu terus diterima sepanjang pertandingan itu berlangsung, dengan kos pendaftaran AS$25 (RM111.40) selain perlu menghabiskan kursus latihan dalam talian.
Kebanyakan punca kehadiran haiwan invasif dalam sesebuah ekosistem adalah disebabkan perbuatan pemilik haiwan eksotik yang tidak bertanggungjawab, iaitu mereka melepaskan haiwan berkenaan dalam habitat liar selepas tidak mahu lagi menjaganya.
#ular sawa burma #spesies invasif #Everglades #haiwan pemangsa
;