Memastikan rakyat hidup aman antara matlamat ASEAN - Menteri Luar Indonesia

Bernama
Ogos 8, 2023 12:50 MYT
Menurut Marsudi, di rantau yang begitu pelbagai seperti Asia Tenggara, dialog adalah sangat penting untuk mewujudkan persefahaman dan menggalakkan sikap saling menghormati. - Gambar fail
JAKARTA: Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata satu daripada matlamat ASEAN adalah untuk memastikan penduduk di rantau ini hidup aman.
"Salah satu matlamat (ASEAN) adalah untuk memastikan rakyat kita hidup aman dalam persekitaran yang adil, demokratik, dan sekali lagi harmoni," katanya pada Persidangan Dialog Antara Budaya dan Antara Agama ASEAN (IIDC) di Jakarta pada Isnin, lapor Agensi Berita ANTARA.
Menurut Marsudi, di rantau yang begitu pelbagai seperti Asia Tenggara, dialog adalah sangat penting untuk mewujudkan persefahaman dan menggalakkan sikap saling menghormati.
"Sememangnya, keamanan dan kestabilan yang kita nikmati di rantau ini adalah hasil kerja keras ASEAN selama bertahun-tahun dalam mempromosikan budaya dialog," katanya.
Dalam dunia hari ini, di mana persaingan geopolitik semakin meluas dan defisit kepercayaan menghalang negara daripada bekerjasama, dialog antara negara adalah lebih penting berbanding sebelum ini, tambahnya.
"Inilah sebabnya dasar luar kita memupuk tabiat berdialog, membina status Indonesia sebagai negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia," tambahnya.
Menurut Marsudi, terdapat tiga matlamat ASEAN. Pertama, mewujudkan keharmonian antara tamadun.
"Jika tidak diurus dengan baik, kepelbagaian hanya menimbulkan syak wasangka dan kebencian. Dengan trend Islamofobia yang semakin meningkat di peringkat global, kita mungkin menuju ke arah pertembungan tamadun," jelasnya.
Indonesia telah mengadakan dialog antara agama sebagai medium diplomasi keamanannya untuk merapatkan pemahaman Islam yang lebih baik dan mengadakan dialog dengan 34 negara di seluruh dunia dari India hingga Ethiopia.
"Kami juga berusaha untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana kepelbagaian boleh digunakan untuk mengukuhkan perpaduan sosial. Beberapa tahun lalu, kami membina sekolah, hospital dan pasar di negeri Rakhine, Myanmar, untuk menyediakan ruang kepada kewujudan bersama antara kumpulan etnik dan agama yang berbeza di negara itu.
Matlamat kedua, kata Marsudi, adalah menonjolkan imej Islam sebagai rahmatan lil' alamin. Indonesia adalah contoh hidup Islam yang serasi dengan kemodenan dan di mana Islam dan toleransi menguatkan satu sama lain.
"Kuncinya ialah kesederhanaan dan kami komited untuk menginspirasi negara-negara Islam lain untuk turut mengambil sikap tegas menentang radikalisme. Islam mesti menjadi sumber keamanan," katanya.
Matlamat ketiga ialah mempromosikan hak wanita untuk pendidikan. Marsudi berkata, Indonesia sentiasa mempromosikan pendidikan untuk semua termasuk wanita dan gadis.
"Sebagai contoh, Indonesia dan Qatar menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Disember lalu di Bali untuk meningkatkan sokongan antarabangsa terhadap pendidikan wanita di Afghanistan," tambahnya.
Marsudi menegaskan bahawa setiap orang mesti secara aktif mengekalkan usaha berkenaan dengan berkhidmat sebagai ejen keamanan dalam komuniti masing-masing.
"Bersama-sama, kita boleh mewujudkan Asia Tenggara yang aman, pusat toleransi dan keharmonian," tambahnya.
-- BERNAMA
#ASEAN #menteri luar Indonesia #Retno Marsudi #penduduk ASEAN
;