Memang saya mahu golongan tidak divaksin naik angin - Emmanuel Macron

Reuters
Januari 6, 2022 12:00 MYT
Macron pernah dikritik sebelum ini kerana mengeluarkan kenyataan yang hampir serupa dan disifatkan rakyat Perancis sebagai sombong. - Foto REUTERS/Charles Platiau
PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengakui dia sengaja mahu golongan yang tidak divaksin 'naik angin', dalam satu temuramah pada Selasa.
Pengakuan itu menerima kecaman hebat pembangkang, kurang empat bulan sebelum pilihan raya presiden akan datang.
"Yang tidak divaksin, saya benar-benar mahu membuatkan mereka marah. Dan kami akan terus berbuat demikian, itulah strateginya," kata Macron kepada akhbar Le Parisien dalam satu wawancara yang diterbitkan lewat Selasa.
Perancis tahun lalu melaksanakan pas kesihatan yang menghalang individu tanpa ujian PCR atau bukti vaksinasi COVID-19 untuk memasuki restoran, kafe dan beberapa tempat lain.
Kerajaan pimpinan Macron juga berhasrat menjadikannya pasport vaksin, yang bermakna hanya mereka yang divaksin boleh memiliki kelebihan tertentu.
"Saya tidak akan menghantar (yang tidak divaksinasi) ke penjara, saya tidak akan memaksa mereka mengambil vaksin. Tetapi kita beritahu mereka, mulai 15 Januari, kamu tidak boleh pergi ke restoran lagi, menonton teater dan pawagam," jelasnya.
Macron pernah dikritik sebelum ini kerana mengeluarkan kenyataan yang hampir serupa dan disifatkan rakyat Perancis sebagai sombong.
"Seorang presiden tidak sepatutnya berkata demikian," kata pemimpin sayap kanan Marine Le Pen di Twitter. "Emmanuel Macron tidak layak memegang jawatannya."
#Emmanuel Macron #Perancis #vaksin #COVID-19
;