Meghan Markle bidas media Britain
Agensi
April 23, 2023 08:26 MYT
April 23, 2023 08:26 MYT
MEGHAN Markle, isteri kepada Putera Harry mengkritik media Britain berhubung laporan yang menyatakan surat-surat kirimannya kepada Raja Charles menjadi sebab dia memutuskan untuk tidak menghadiri upacara pertabalan raja baharu negara berkenaan, iaitu konfrontasi terbaharunya dengan media.
Daily Telegraph melaporkan, Meghan telah menulis kepada raja sekarang menyuarakan kebimbangannya dengan sikap pilih kasih yang di luar kesedaran dalam keluarga diraja Britain.
Surat berkenaan dikatakan dikirim selepas dia mengeluarkan kenyataan dalam wawancara bersama Oprah Winfrey pada tahun 2021 yang menyebut keluarga diraja itu mengutarakan kebimbangan mengenai betapa gelap kulit anak lelakinya.
Laporan itu menyatakan bahawa Duke of Sussex tidak merasakan beliau telah menerima maklum balas yang memuaskan terhadap kebimbangannya.
"Duke of Sussex memikirkan tentang kehidupannya hari ini, tanpa memikirkan mengenai kiriman surat dua tahun lalu berhubung perbualan empat tahun lalu," kata jurucakap Meghan
“(Justeru) kami mengalu-alukan media tabloid dan wartawan diraja menghentikan sarkas ciptaan mereka.”
Putera Harry dilaporkan bakal menghadiri upacara pertabalan Raja Charles III pada bulan hadapan seorang diri tanpa kehadiran isterinya, Meghan yang akan tinggal di California, Amerika Syarikat (AS) dengan dua orang anak mereka.
Anak sulung mereka, Archie, akan berusia empat tahun pada hari yang sama.
Harry dan Meghan melepaskan tugas-tugas diraja mereka pada bulan Mac 2020, dengan memberikan alasan ingin memulakan kehidupan baharu di AS tanpa gangguan media.