Medicago bakal bekalkan 76 juta dos vaksin COVID-19 berasaskan tumbuh-tumbuhan - PMI

Afiq Ariffin
Oktober 27, 2020 16:51 MYT
Kata PMI, vaksin berkenaan juga akan dibangunkan berasaskan tumbuh-tumbuhan dan kerja-kerja kajian dan penyelidikan sedang giat dijalankan. -Foto Bernama
PHILIP Morris International (PMI) mengumumkan anak syarikatnya, Medicago mencapai persetujuan dengan kerajaan Kanada untuk mempercepatkan usaha penghasilan vaksin COVID-19.
Menurut PMI, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin itu sedang dijalankan dan menariknya ia berasaskan tumbuh-tumbuhan.
“Pelaburan vaksin itu selaras dengan usaha PMI sendiri sebagai memanfaatkan sains dan inovasi.
“Mitsubishi Tanabe Pharma Corporation (MTPC) yang berpangkalan di Jepun adalah pemegang saham utama dan rakan syarikat PMIBV di Medicago.
“Selain itu, PMIBV dan MTPC akan menyalurkan dana tambahan untuk menyokong usaha Medicago untuk membangunkan vaksin tersebut,” kata PMI dalam kenyataan pada Selasa.
Medicago, sebuah syarikat biofarmaseutikal yang berpangkalan di Quebec, Kanada mengumumkan untuk menyediakan 76 juta dos vaksin COVID-19, dengan persetujuan Jabatan Kesihatan Kanada.
Jelas kenyataan itu, Inovasi, Sains & Pembangunan Ekonomi (ISED) Kanada juga akan menyumbang sebanyak AS$131 juta (RM545.5 juta) kepada Medicago untuk menyokong pembangunan vaksin dan ujian klinikal sedang berjalan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMI, André Calantzopoulos memberitahu, pihaknya menyambut baik kerjasama tersebut sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.
“Banyak manfaat boleh dicapai apabila kerajaan dan syarikat dapat bekerjasama untuk kesejahteraan masa akan datang.
“Kami menyahut usaha Medicago untuk membangun, menghasilkan dan memastikan kewujudan vaksin COVID-19 sekaligus berharap ia berjaya,” kata Calantzopoulos.
Medicago telah memulakan Fasa 1 ujian ke atas sukarelawan pada 14 Julai lalu dan manakala Fasa 2 ujian klinikal dijangka bermula awal November 2020.
Sekiranyaberjaya, Fasa 3 dijangka pada Disember 2020.
#Philip Morris International #PMI #COVID-19 #kerajaan #kesihatan #pelaburan #Sains #ekonomi #Jepun #international #Kanada #MTPC
;