Media ASEAN-China media wajar promosi pembangunan bersama

Bernama
September 15, 2022 07:45 MYT
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Amran Mohamed Zin menerima kunjungan Deng Xijun di Putrajaya, 14 Sept 2022. - Twitter Wisma Putra
BEIJING: Media ASEAN dan China digalakkan untuk memenuhi cabaran dalam era digital ini dengan mempromosi pembangunan bersama menerusi kerjasama bagi manfaat bersama untuk memastikan komuniti antarabangsa mendengar suara Asia dengan lebih jelas.
Duta Besar China ke ASEAN Deng Xijun berkata media ASEAN dan China mempunyai tanggungjawab besar dalam meningkatkan kerjasama dan minat bersama serta mempromosi pembangunan serantau.
"Media kita perlu fokus kepada tema kerjasama persahabatan China-ASEAN, mempromosi kerjasama industri media dengan menggunakan sepenuhnya mekanisme sedia ada serta menggalakkan naratif pembangunan bersama China-ASEAN, bagi mewujudkan suasana bagi membolehkan pendapat sosial dan awam diluahkan bagi merapatkan kerjasama serantau bagi memastikan dunia mendengar suara Asia dengan lebih jelas," katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan pada Forum Rakan Media ASEAN 2022 semalam, yang dihoskan oleh badan penyiar milik negara, China Media Group (CMG) dan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, bertemakan 'kepintaran, kerjasama dan perpaduan'.
Deng berkata pada masa ini, media bukan sahaja jendela untuk kedua-dua pihak melihat satu sama lain, malah merupakan jambatan penting untuk kerjasama sesama masyarakat.
"Saya berharap kedua-dua pihak akan mengetengahkan pembangunan ekonomi dan sosial di China dan ASEAN secara lebih ketara sesama mereka, tunjukan gambaran yang jujur, menyeluruh mengenai satu sama lain, cerita kisah mengenai usaha untuk mewujudkan keamanan dan pembangunan bersama dan besama-sama menulis bab baharu ikatan persahabatan China-ASEAN," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden CMG Yan Xiaoming berkata mereka merancang untuk membangunkan ikatan media bersama China-ASEAN dengan wilayah itu dijadikan pusat rantaian industri media menyeluruh untuk negara China dan ASEAN.
Forum Rakan Kerjasama Media ASEAN itu adalah forum baharu yang dilancarkan oleh CMG bagi mempromosi kerjasama dan pertukaran dengan pertubuhan negara ASEAN.
Seramai 180 tetamu dari China dan asing dari 70 media dan institusi di 15 negara menyertai forum itu, acara hibrid di Nanning, ibu negeri wilayah Guangx.
-- BERNAMA
#Deng Xijun #Media #ASEAN #China
;