Mdm Ling Bakery mohon maaf, 23 individu di Singapura keracunan makanan dek kuih bulan dari Malaysia

Agensi
Oktober 1, 2021 14:11 MYT
SFA menurut laporan Straits Times berkata, mereka telah mengarahkan bakeri berkenaan untuk menghentikan penjualan, serta memanggil balik kesemua kek bulan tersebut yang telah diedar dan dijual. - Foto tangkap layar The Straits Times
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura dan Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat mengesahkan 23 individu telah mengalami simptom gastroenteritis selepas mereka menikmati kuih bulan snowskin berperisa durian dari Mdm Ling Bakery.
SFA menurut laporan Straits Times berkata, mereka telah mengarahkan bakeri berkenaan yang beroperasi dari Ang Mo Kio di Republik berkenaan untuk menghentikan penjualan, serta menarik balik kesemua kek bulan tersebut yang telah diedar dan dijual.
Selain itu ia berkata, seorang pesakit telah menerima rawatan di hospital, dan telah dibenarkan keluar, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar, mengambil ubat-ubatan sendiri, atau sembuh tanpa sebarang rawatan.
“Mereka yang telah membelinya, dinasihatkan supaya tidak memakannya. Bagi mereka yang telah memakan produk itu, dan mempunyai kemusykilan tentang kesihatan mereka, boleh mendapatkan nasihat perubatan,” menurut SFA lagi.
Menurut laporan itu, kuih bulan tersebut dipercayai diimport oleh Mdm Ling Bakery dari Malaysia, dan dijual pada harga SD92 (RM283.09) sekotak, dan dijual di beberapa lokasi di negara itu.
Pemeriksaan pada Jumaat mendapati stor atas talian seperti Takashimaya dan Capitol Singapore telah menarik balik penjualan produk berkenaan.
Sementara itu, Mdm Ling Bakery melalui Facebooknya memohon maaf kepada pelanggan yang telah membeli serta memakan produk tersebut.
Mereka berkata, polisi syarikat mereka sentiasa menitikberatkan kawalan kualiti produk, dan mereka bekerjasama rapat dengan SFA dan Kementerian Kesihatan Singapura bagi menyelesaikan isu terbabit.
"Ingin kami tekankan di sini, pihak kami amat serius dalam aspek standard keselamatan makanan, dan kesejahteraan pelanggan merupakan keutamaan kami.
"Pasukan pengurusan kami kini telah berusaha menghubungi pelanggan yang terkesan serta memerlukan bantuan, dan kami akan terus melakukan tindakan tersebut," menurut Mdm Ling Bakery lagi.
Sumber Facebook mdmlingbakery
#Mdm Ling Bakery #kuih bulan #gastroentritis #Singapura
;