McCarthy adakan pertemuan dengan Presiden Taiwan di California

Bernama
April 6, 2023 11:45 MYT
Speaker Dewan AS Kevin McCarthy (kanan) mengadakan pertemuan dengan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen (kiri) di California pada Rabu. -Reuters
WASHINGTON: Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS) Kevin McCarthy mengadakan pertemuan dengan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen di California pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.
McCarthy turut memuat naik gambar pertemuan itu di Twitter dan berkata: "Persahabatan antara Amerika dan rakyat Taiwan semakin kukuh."
Pada sidang media bersama pemimpin Taiwan, McCarthy berkata: "Taiwan ialah sebuah negara demokrasi yang berjaya, ekonomi yang berkembang maju dan peneraju global dalam kesihatan dan sains."
"Hubungan AS dengan Taiwan terus berkembang melalui dialog dan pertukaran.
"Persahabatan antara penduduk Taiwan dan Amerika adalah satu perkara yang sangat penting kepada dunia dan penting untuk mengekalkan kebebasan ekonomi, keamanan dan kestabilan serantau," kata McCarthy.
Tsai mengucapkan terima kasih kepada McCarthy dan berkata: "gembira dalam kembali ke Perpustakaan Ronald Reagan sambil berusaha untuk mengukuhkan ikatan antara Taiwan dan AS."
"Saya mengulangi komitmen Taiwan untuk mempertahankan status quo yang aman yang membolehkan rakyat Taiwan terus berkembang maju dalam masyarakat yang bebas dan terbuka," katanya menerusi Twitter.
Pertemuan itu menyaksikan kali pertama seorang pemimpin Taiwan bertemu dengan pegawai kanan AS di bumi Amerika sejak 1979, sejak Washington memutuskan hubungan dengan Taipei dan secara rasmi menjalin hubungan diplomatik dengan Beijing.
Sementara itu, China membantah pertemuan itu dan Beijing "tegas mempertahankan" integriti wilayahnya.
Beberapa jam sebelum pertemuan itu, Beijing dilaporkan melancarkan "operasi pemeriksaan khas" di Selat Taiwan.
-- BERNAMA
#Kevin McCarthy #Tsai Ing-Wen #Speaker Dewan Amerika Syarikat #Presiden Taiwan
;