MCAS nafi ada kaitan dengan GISB dan pergerakan Al-Arqam

Bernama
Oktober 5, 2024 22:20 MYT
Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) menafikan sebarang kaitan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISB) atau pergerakan Al-Arqam. - Foto hiasan/REUTERS
SINGAPURA: Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) menafikan sebarang kaitan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISB) atau pergerakan Al-Arqam.
Presidennya, Muhammad Imran Kuna berkata MCAS yang juga dikenali sebagai Darul Arqam Singapura baru-baru ini mendapati beberapa hantaran media sosial yang mengaitkan mereka dengan pergerakan terbabit dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan undang-undang.
"Kami secara tegas menolak sebarang dakwaan sedemikian dan dengan tegas menafikan sebarang hubungan dengan GISB, pergerakan Al-Arqam atau mana-mana aktiviti mereka, baik pada masa lalu atau semasa.
"Sila ambil perhatian bahawa MCAS memandang serius perkara ini dan tidak membenarkan sebarang salah tafsiran, tuduhan, atau kiasan yang mengaitkan MCAS dengan Al-Arqam dan GISB," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata bahawa persatuan telah menghubungi pencipta kandungan, kebanyakannya di TikTok yang membuat dakwaan ini.
Muhammad Imran Kuna memaklumkan bahawa walaupun ada yang patuh dengan menurunkan hantaran terbabit, ada juga yang hanya mengalih keluar ulasan dari pihak persatuan.
Beliau menekankan bahawa MCAS yang ditubuhkan pada 1979, berdedikasi untuk menyediakan peluang pendidikan yang mencerminkan prinsip Islam melalui ceramah, kursus, perkhidmatan penting, dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
MCAS juga proaktif dalam memupuk kefahaman tentang Islam, menyediakan perspektif seimbang kepada semua individu tanpa mengira kaum, bahasa, atau agama.
Muhammad Imran Kuna turut menjelaskan bahawa organisasi itu dinamakan 'Darul Arqam' pada 1980 oleh bekas Mufti Singapura, Syed Isa Semait sebagai penghormatan kepada sahabat Nabi Muhammad, Abu Abdullah Arqam Abi al-Arqam.
"Pada ketika ini, MCAS perlu menegaskan kedudukannya bahawa kami mengambil berat tentang reputasi dan integriti kami dengan serius kerana kami menjunjung tadbir urus persatuan dan kesopanan pada tahap tertinggi.
"Kami berikrar untuk mengekalkan toleransi dan kesetiaan teguh terhadap keharmonian antara agama dan kaum dalam masyarakat berbilang bangsa dan budaya di Singapura," katanya.
-- BERNAMA
#Persatuan Mualaf Singapura #MCAS #nafi ada kaitan dengan GISB #al-arqam
;