Mayat rakyat Palestin ditemukan selepas tentera Israel tinggalkan timur Deir al-Balah
Bernama
Jun 10, 2024 19:55 MYT
Jun 10, 2024 19:55 MYT
GAZA CITY: Pasukan kecemasan di Gaza mengeluarkan mayat rakyat Palestin pada Isnin selepas pencerobohan oleh tentera Israel di kawasan timur Deir al-Balah, Semenanjung Gaza berlanjutan selama lima hari.
Agensi Anadolu (AA) melaporkan bahawa tentera Israel telah meninggalkan bandar terbabit, namun rakyat Palestin yang cuba kembali ke rumah mereka tetap menjadi sasaran hingga mengakibatkan ramai terkorban.
Pasukan kecemasan berjaya mengakses kawasan yang sebelum ini diduduki tentera Israel dan mengeluarkan mayat-mayat berkenaan.
Tentera turut meroboh banyak rumah dan meratakan beberapa kawasan kediaman serta pertanian.
Sejak serangan ganas Israel ke atas Gaza pada 7 Okt 2023, lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala sebahagian besar wilayah itu musnah akibat sekatan yang menjejaskan bekalan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan.
-- BERNAMA