Mayat pelancong Amerika ditemui dalam beg pakaian di Bali

AFP
Ogos 13, 2014 15:06 MYT
Mayat seorang pelancong Amerika dengan kesan dipukul ditemui di dalam beg pakaian di sebuah hotel eksklusif di pulau peranginan Bali di Indonesia.
Mayat seorang pelancong Amerika dengan kesan dipukul ditemui di dalam beg pakaian di sebuah hotel eksklusif di pulau peranginan Bali di Indonesia.
Susulan insiden itu, anak perempuan serta teman lelakinya telah ditahan, menurut polis pada Rabu.
Mayat Sheila von Wiese Mack ditemui disumbat di dalam beg pakaian di dalam but sebuah teksi di hadapan hotel lima bintang St Regis di kawasan peranginan mewah Nusa Dua.
Mangsa yang berusia 62 tahun ini ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kesan luka di kepala dipercayai akibat pergelutan, kata doktor.
Dia telah tinggal di hotel berkenaan bersama anak perempuannya, Heather, 19, dan teman lelaki anaknya, Tommy Schaefer, 21, kata ketua polis Djoko Hari Utomo kepada wartawan.
Mack dan anaknya tinggal di hotel itu selama beberapa hari sebelum Tommy menyertai mereka pada Isnin, katanya lagi.
Dia menambah, rakaman CCTV menunjukkan Mack dilihat bertengkar dengan Schaefer di lobi hotel pada malam itu.
Keesokan harinya, pasangan itu mendaftar keluar dan menghantar beberapa beg pakaian, satu daripadanya dipercayai mengandungi mayat mangsa, untuk dimuatkan ke dalam teksi.
Mayat mangsa ditemui apabila pasangan itu tidak muncul untuk menaiki teksi, kata Utomo, sebaliknya mereka dilihat pada CCTV meninggalkan hotel melalui laluan belakang dan bukannya mengikut pintu masuk utama.
Polis melancarkan pemburuan dan pasangan itu ditemui tidur di sebuah hotel di kawasan pelancongan Legian di utara Nusa Dua, awal Rabu, Utomo memberitahu AFP.
“Ini satu pembunuhan dan kami akan putuskan melalui siasatan sama ada ia dirancang atau dilakukan secara spontan,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke hospital besar di Denpasar untuk autopsi. Menurut seorang doktor, beberapa kesan luka di kepala mangsa kelihatan konsisten dengan pukulan menggunakan “objek tumpul ".
"Melihat kepada tahap kecederaan, mangsa dipercayai bergelut," kata Ida Bagus Alit, sambil menambah bahawa satu daripada jari mangsa di tangan kirinya patah.
Pihak hotel menyebut bahawa mereka sedia maklum akan “tragedi buruk” ini dan sedang membantu pihak berkuasa dalam siasatan mereka.
Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta berkata dalam satu kenyataan bahawa ia "telah dimaklumkan tentang kematian seorang warga Amerika di Bali dan kami difahamkan bahawa dua individu terbabit telah ditangkap."
#Amerika #Bali #dibunuh #Nusa Dua #pelancong #Sheila von Wiese Mack
;