Mayat lelaki hilang 22 tahun lalu dikesan melalui Google Maps
Astro Awani
September 12, 2019 05:59 MYT
September 12, 2019 05:59 MYT
Mayat seorang lelaki yang hilang lebih dua dekad lalu ditemukan dengan bantuan Google Maps.
Mayat di dalam sebuah kereta yang terbenam dalam tasik itu disahkan milik William Moldt dari Lantana, Florida, yang dilaporkan hilang pada 7 November 1997.
Pada hari kejadian 22 tahun lalu, Moldt dilapor tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kelab malam.
Pencarian polis pada ketika itu bagaimanapun tidak mendatangkan hasil.
Namun pada 28 Ogos lalu, polis dimaklumkan tentang penemuan sebuah kereta di dalam tasik di Moon Bay Circle, Wellington.
Apabila kereta itu ditarik naik, mayat yang sudah tinggal rangka ditemukan dan disahkan milik Moldt.
Difahamkan kereta Moldt yang terbenam dalam tasik itu ditemukan seorang bekas penduduk yang melakukan carian di Google.
Pencarian seterusnya menggunakan dron mengesahkan terdapat sebuah kereta yang terbenam di dalam tasik sepertimana dilihat pada Google Maps.
Dipercayai kenderaan itu telah berada pada foto satelit Google Earth sejak 2007.
Menurut polis Palm Beach County, Moldt dipercayai hilang kawalan ketika memandu dan keretanya terjunam ke dalam tasik.
Tambahnya, keluarga Moldt telah dimaklumkan tentang penemuan itu.
#Google Earth
#Google Maps
#kelab malam
#lelaki hilang
#Palm Beach County
#terbenam dalam tasik
#terjunam ke dalam tasik
#William Moldt