Mayat kelima kejadian runtuhan salji Mont Blanc ditemui
Agensi
April 10, 2023 17:34 MYT
April 10, 2023 17:34 MYT
PARIS: Mayat kelima dilaporkan ditemui meninggal dunia dan seorang lagi masih hilang selepas kejadian runtuhan salji di kawasan Mont Blanc, di selatan Perancis, semalam.
Memetik CNA, pejabat pendakwa tempatan memaklumkan salah satu runtuhan salji paling buruk berlaku di glasier Armancette pada Ahad di kawasan Alpen, yang mengakibatkan dua pemandu pendakian terbunuh dan kira-kira 15 orang terperangkap.
Selepas penemuan empat mangsa, pendakwa Karline Bouisset memaklumkan mayat seorang wanita berusia 39 tahun ditemui manakala mangsa keenam masih hilang.
“Seorang individu mengalami kecederaan ringan akibat runtuhan salji tersebut, sementara lapan lagi yang terperangkap berjaya selamat tanpa cedera,” katanya.
Difahamkan, kawasan runtuhan salji berkeluasan 1,600m x 500m.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Contamines-Montjoie, Francois Barbier memberitahu lokasi kejadian pada Hari Easter itu dilaporkan berada dalam keadaan terkawal.
"Saya fikir ini adalah runtuhan salji paling dasyat pada musim ini. Tiada amaran runtuhan salji telah dikeluarkan untuk kawasan tersebut oleh pihak berkuasa cuaca, Meteo Perancis, namun kombinasi antara panas dan angin mungkin menjadi penyebab malapetaka ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Emmanuel Macron menulis di Twitter menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa serta mangsa terlibat dalam kejadian.
“Dua beradik telah meninggal dunia dalam runtuhan salji yang sama di glasier tersebut pada tahun 2014, kedua-duanya merupakan pendaki yang berpengalaman dalam usia 20-an,” tulisnya.