Mayat kanak-kanak 12 tahun ditemukan disumbat dalam bagasi

Faida Rahim
Oktober 18, 2022 12:52 MYT
Meskipun proses bedah siasat akan dilakukan pada hujung minggu ini, Lola didapati meninggal dunia akibat lemas. - Tangkap layar laporan berita antarabangsa
PARIS: Penduduk Paris, Perancis dikejutkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam sebuah bagasi yang ditinggalkan di hadapan sebuah pangsapuri di bandar raya itu pada Jumaat lalu.
Memetik laporan media antarabangsa, mayat kanak-kanak yang dikenali sebagai Lola Daviet itu ditemukan dengan kaki dan tangan berikat serta kesan luka di leher.
Turut ditemukan bersama mayat, dua keping nota kecil di bahagian kakinya tertulis, “0” manakala sekeping nota lagi tertulis angka “1”.
Mangsa dipercayai telah diperkosa sebelum dibunuh.
Menurut sumber mahkamah, seorang suspek wanita telah dituduh pada Isnin atas dakwaan merogol, menyeksa dan membunuh berkaitan kejadian itu.
Suspek kelahiran Algeria berusia 24 tahun bernama Dahbia B itu telah ditahan pihak berkuasa selepas dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan pangsapuri itu, dimana dia sebelum itu dilihat memasuki pintu utama sebuah pangsapuri bersama Lola.
Tidak lama kemudian, suspek dilihat keluar dari bangunan sambil menarik sebuah bagasi selain turut berkelakuan aneh.
Lola dipercayai meninggal dunia akibat lemas kerana sesak nafas dan proses bedah siasat bakal dilakukan pada hujung minggu ini.
Walau bagaimanapun, setakat ini pihak polis masih belum menemui sebarang bukti atau petunjuk tepat mengenai punca suspek bertindak demikan.
Teori terdekat adalah Dahbia B yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap mengalami masalah psikologi yang tidak stabil .
Isteri Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Brigitte Macron dalam reaksinya menyifatkan kejadian ini sebagai tragedi yang amat keji dan tidak boleh diterima.
#Lola Daviet #kanak-kanak dibunuh #mayat kanak-kanak #mayat dalam bagasi
;