Mayat Chavez akan diawet untuk pameran muzium tentera
Astro Awani
Mac 7, 2013 02:00 MYT
Mac 7, 2013 02:00 MYT
Mayat mendiang Presiden Venezuela, Hugo Chavez yang diawet akan dipamerkan secara kekal dalam sebuah keranda berkaca di muzium tentera negara itu.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pemangku Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dalam satu temuramah dengan agensi berita kerajaan, VTV.
Ketika ini, muzium tentera atau dikenali sebagai Muzium Revolusi masih dalam pembinaan.
Pemilihan muzium tentera sebagai tempat persemadian terakhir Chavez amat signifikan memandangkan di situlah mendiang presiden melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan Venezuela ketika itu pimpinan Carlos Andres Perez.
Menurut Maduro, mayat Chavez akan ditempatkan di akademi tentera sekurang-kurangnya untuk tujuh hari lagi bagi membolehkan rakyat dari seluruh Venezuela memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Dalam perkembangan sama, pemimpin-pemimpin dunia tiba di Caracas untuk menghadiri upacara pengebumian Chavez yang akan berlangsung hari ini.
Antara yang hadir ialah Presiden Cuba, Raul Castro, Presiden Brazil, Dilma Rousseff, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dan Presiden Bolivia, Eva Morales.
Di sebalik hubungan renggang antara Washington dan Caracas, kerajaan Amerika Syarikat turut menghantar delegasi ke Venezuela yang diketuai oleh anggota kongres, Gregory Meeks dan William Delahunt.