Mayat budak dua tahun disumbat dalam peti sejuk
Sinar Harian
Januari 7, 2024 09:00 MYT
Januari 7, 2024 09:00 MYT
NONTHABURI: Mayat budak lelaki berusia dua tahun ditemui dalam peti sejuk di wilayah Nonthaburi, Thailand pada Sabtu, lapor Thaiger
Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 25 tahun yang merupakan penjaga dan rakan ibu kanak-kanak itu untuk disoal siasat.
Sebelum itu, pegawai dari Balai Polis Bang Bua Thong, pegawai Yayasan Ruamkatanyu bersama doktor dari Institut Sains Forensik memeriksa sebuah rumah bandar dua tingkat di Mukim Bang Rak Phatthana, Daerah Bang Bua Thong, Wilayah Nonthaburi, selepas dimaklumkan terdapat seorang kanak-kanak meninggal dunia.
Ketika memeriksa bahagian dalam peti sejuk, mereka menjumpai mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dibalut dengan selimut dan dimasukkan ke dalam beg kain.
Dalam rumah sama, pegawai menjumpai seorang wanita dikenali sebagai Koi yang merupakan penjaga kanak-kanak itu dan mendakwa bahawa pemilik rumah itu adalah teman lelakinya.
Pasangan itu telah menjaga kanak-kanak tersebut selepas ibu bapanya yang merupakan rakan pemilik rumah dipenjarakan atas kesalahan dadah.
Ketika memberi keterangan, Koi berkata pada 2 Januari lalu semasa berada di rumah, dia melihat semut pada mata dan tangan kanak-kanak itu yang sedang tidur, dengan nasi melekit di dalam mulutnya.
Menyedari kanak-kanak itu sudah mati, dia kemudian bersama teman lelakinya memutuskan untuk memasukkan kanak-kanak tersebut di dalam beg serta menyembunyikan dalam peti sejuk.
Timbalan Komander Polis Wilayah 1, Mejar Jeneral Polis, Apichart Wannapak berkata, rahsia terbongkar selepas seorang warga emas memaklumkan kepada polis mengenai bau busuk dalam rumah tersebut.
Ketika ini, unit forensik sedang melakukan bedah siasat dan mengesyaki ia adalah kes bunuh dan polis sedang melakukan siasatan lanjut untuk mencari pelakunya. - Sinar Harian/ Agensi