May pertahan strategi Brexit
Agensi
Julai 19, 2018 09:38 MYT
Julai 19, 2018 09:38 MYT
Sehari selepas dikecam hebat di Parlimen, Perdana Menteri United Kingdom (UK) Theresa May mempertahankan strategi Brexit beliau dalam sesi soalan kepada perdana menteri (PMQ).
Ia adalah peluang terakhir buat May untuk meyakinkan ahli Parlimen bukan menteri mengenai pelannya membawa keluar UK daripada Kesatuan Eropah (EU).
Ketua Pembangkang Jeremy Corbyn mempersoalkan keseriusan strategi rundingan May dan mendakwa terlalu banyak bantahan yang membuktikan kegagalan Parti Konservatif.
"Adakah ini bermakna kerajaan telah gagal merundingkan Brexit, gagal memenuhi keperluan negara kerana mereka terlalu sibuk, berbalah dengan satu sama lain?" soalnya.
May bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan menggariskan beberapa kejayaannya minggu lalu, termasuk dalam pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
"Biar saya katakan di sini apa yang telah saya lakukan minggu lalu. Dan bandingkan dengan apa yang anda lakukan minggu lalu.
"Ketika saya sedang berbincang mengenai masa depan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan Trump, dia (Corbyn) menyertai demonstrasi menentang Trump.
"Ketika saya sedang merangka pelan untuk perdagangan dengan EU, dia merancang bagaimana mengajar kanak-kanak mengadakan demonstrasi.
"Anda hanya membantah, sedangkan saya melakukan sesuatu."
Ahli Parlimen pro EU dari Parti Konservatif dan Parti Buruh mahu Britain menyertai Kesatuan Kastam Eropah sekiranya tiada perjanjian bersama blok berkenaan Januari ini, dua bulan sebelum Britain dijadual meninggalkan EU.
#Brexit
#Britain
#Donald Trump
#EU
#Jeremy Corbyn
#pembangkang
#Perdana Menteri
#Theresa May
#United Kingdom