Maut selepas makan di restoran bertaraf Michelin

Agensi
Februari 22, 2019 15:54 MYT
Terdapat laporan mengatakan cendawan morel berkemungkinan menjadi punca keracunan, namun pihak berkuasa masih menunggu keputusan ujian sebelum membuat sebarang pengumuman. - Sumber foto Sinar Harian
Seorang wanita dilaporkan maut manakala 28 yang lain jatuh sakit setelah menjamu selera di sebuah restoran bertaraf Michelin di Sepanyol.
Mangsa, seorang wanita berusia 46 tahun datang menjamu selera di restoran RiFF, bersama keluarganya pada malam Sabtu lalu dan dilapor meninggal dunia keesokan paginya.
Suami dan anak lelaki mangsa berusia 12 tahun turut mengalami cirit-birit dan muntah.
Restoran bertaraf satu bintang Michelin yang menghidangkan 'sajian inovatif' tersebut kini ditutup bagi membolehkan pegawai kesihatan menyiasat punca sebenar insiden.
Sehubungan itu, pihak berkuasa turut mengesan 75 pengunjung yang datang ke restoran terbabit antara 13 dan 16 Februari lalu dan mendapati 29 orang telah mengalami keracunan makanan.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Wilayah Valencia berkata, pegawai pemeriksa makanan gagal menemui punca jelas ketika menjalankan pemeriksaan di restoran terbabit.
Bagaimanpun, sampel hidangan yang disajikan dalam menu telah dihantar ke Institut Toksikologi Kebangsaan untuk analisis.
Terdapat laporan mengatakan cendawan morel berkemungkinan menjadi punca keracunan, namun pihak berkuasa masih menunggu keputusan ujian sebelum membuat sebarang pengumuman.
Pemilik dan ketua chef RiFF, Bernd Knöller berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan pegawai kesihatan bagi mengetahui punca sebenar.
"Saya merasa kesal dengan apa yang telah berlaku dan membuat keputusan untuk menutup restoran ini sehingga punca sebenar insiden diketahui," kata Knöller. - BBC
#cendawan morel #Institut Toksikologi Kebangsaan #Kementerian Kesihatan #kesihatan #maut #michelin #restoran #RiFF #sepanyol #wanita
;