Mata wang kripto Indonesia Indodax digodam, rugi AS$20 juta

Agensi
September 12, 2024 16:15 MYT
Susulan insiden berkenaan, Agensi Pengawalseliaan Perdagangan Komoditi Berjangka (Bappebti) menasihatkan para pelabur untuk kekal tenang dan tidak panik - Foto hiasan
JAKARTA: Pertukaran mata wang kripto terbesar Indonesia, Indodax dilaporkan telah digodam mengakibatkan kerugian sekitar AS$20 juta setakat ini.
Memetik laporan Jakarta Globe, insiden pertama yang dilaporkan oleh syarikat keselamatan Web3, Cyvers Alerts, mendedahkan Indodax mengalami 150 transaksi mencurigakan yang disyaki merupakan sebahagian daripada operasi penggodaman.
“Kami mengesan lebih daripada 150 transaksi dan jumlah kerugian sebanyak $18.2 juta (setakat Rabu).
"Indodax dijangka mengambil tindakan,” kata Cyvers Alerts dalam satu ciapan di platform media sosial X pada Rabu.
Agensi Pengawalseliaan Perdagangan Komoditi Berjangka (Bappebti) menasihatkan para pelabur untuk kekal tenang dan tidak panik.
Sementara itu, Ketua Bappebti, Kasan dalam kenyataan turut mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kemungkinan pelanggaran sistem transaksi aset kripto Indodax.
"Bappebti sedang berkoordinasi dengan Indodax.
"Kami juga telah memanggil wakil Indodax untuk menjelaskan kes ini.
"Pada masa ini, Indodax sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran sistem mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kasan juga menjelaskan bahawa Indodax sedang melakukan penutupan sistem secara menyeluruh untuk memastikan semua sistem beroperasi dengan betul.
Sehingga April 2024, 6.7 juta orang atau kira-kira 33 peratus daripada 20.16 juta pelabur kripto di Indonesia menggunakan Indodax.
#Indonesia #Indodax digodam #Cyvers Alerts #matawag kripto
;