Mata lebam, hidung berdarah ... trend #MugshotChallenge dikecam netizen

Syahirah Hani Roslan
April 14, 2020 11:27 MYT
Corinna Kopf dan James Charles adalah antara pelopor trend #MugshotChallenge di TikTok Foto: N Lifestyle
PERINTAH berkurung di beberapa negara susulan wabak COVID-19 membuatkan orang ramai terpaksa mencari alternatif di rumah bagi mengelakkan kebosanan.
Aplikasi TikTok tidak terkecuali daripada sumber hiburan yang menjadi pilihan orang ramai untuk dijadikan posting di laman media sosial masing-masing.
Setelah tular trend #SavageChallenge dan #FlipTheSwitchChallenge dalam kalangan pengguna TikTok beberapa minggu lalu, kini tular satu lagi trend iaitu #MugshotChallenge yang mengundang rasa kurang senang netizen.
James Charles dan Corinna Kopf merupakan antara instafamous yang menginspirasikan #MugshotChallenge.
#MugshotChallenge ialah trend video TikTok di mana pengguna harus bersolek seolah-olah mereka ditangkap polis atas jenayah yang melibatkan keganasan.
Ia termasuk gambaran mata lebam, hidung dan bibir berdarah, rambut kusut masai, serta maskara yang comot.
Trend ini mengundang kontroversi kerana netizen rata-rata berpendapat tindakan mereka seolah-olah menggalakkan keganasan dalam masyarakat dan memperlihatkan kes penderaan domestik yang meningkat ketika wabak COVID-19.
"Saya meminati James, tapi tidak seronoklah bila lihat mukanya lebam dan tidak ditutup.
"Mungkin saya terlalu sensitif, tapi ia benar-benar membuatkan saya tidak selesa. Saya rasa ia tidak berperikemanusiaan," kata seorang pengikut instagram James Charles.
Kata seorang lagi peminatnya, trend ini dianggap mempersendakan mereka yang pernah ditahan polis.
"Ini bukan suatu jenaka. Ini saat paling mengecewakan dalam hidup saya."
James bagaimanapun mempertahankan tindakannya melalui hantaran di akaun Twitter.
“Saya faham tetapi trend bodoh ini tiada kena mengena dengan penderaan domestik.
"Bagaimana pula dengan filem aksi? Halloween? Kesan khas? Hidung berdarah? Ini bukan sesuatu yang baharu,” tulis James di Twitter.
Video #MugshotChallenge itu bagaimanapun dibuang setelah menerima kecaman dan kritikan.
#Corinna Kopf #corinnakopf #FlipTheSwitchChallenge #instafamous #James Charles #jamescharles #mugshotchallenge #SavageChallenge #TikTok
;