Masyarakat antarabangsa perlu nyata pendirian mengenai tindakan Rusia iktiraf kemerdekaan dua wilayah Ukraine
Bernama
Februari 23, 2022 07:18 MYT
Februari 23, 2022 07:18 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa mesti mengambil pendirian terhadap tindakan Rusia mengiktiraf dua wilayah Ukraine iaitu Luhansk dan Donetsk.
Kedutaan Ukraine di Malaysia menerusi kenyataannya kepada Bernama menyatakan, perkara ini bukan lagi sekadar isu Ukraine atau Rusia tetapi menegaskan ia sekarang berkisar kepada dua perkara: undang-undang antarabangsa atau 'lawlessness'.
"Ukraine mengutuk keputusan Persekutuan Rusia mengikraf 'kemerdekaan' separa entiti yang diwujudkannya di wilayah Ukraine yang didudukinya sementara, dikenali sebagai 'Republik Rakyat Luhansk' dan 'Republik Rakyat Donetsk'," menurut kenyataan itu.
"Dunia dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres amat jelas (mengenai perkara ini).
"Rusia terang-terangan menafikan norma dan prinsip asas undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB dengan mencabuli kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine.
"Tentera Rusia di Ukraine bukan anggota pengaman, mereka adalah penjajah," menurut kenyataan itu.
Pada lewat Isnin, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan pengiktirafan Luhansk dan Donetsk, dua wilayah di Ukraine.
Selepas itu, beliau mengarahkan penghantaran tentera Rusia untuk 'memastikan keamanan' di wilayah berkenaan.
Pengumuman itu mencetuskan kecaman antarabangsa, dengan negara Barat mula mengenakan beberapa sekatan lebih ketat.
-- BERNAMA