Masyarakat antarabangsa kutuk serangan hotel di Mogadishu
Bernama
Ogos 21, 2022 13:28 MYT
Ogos 21, 2022 13:28 MYT
MOGADISHU: Masyarakat antarabangsa pada Sabtu mengutuk serangan pengganas ke atas sebuah hotel popular di Mogadishu, ibu negara Somalia, petang Jumaat, yang mengorbankan lebih 10 orang dan beberapa yang lain cedera, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan di Mogadishu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Pihak Berkuasa Antara Kerajaan Mengenai Pembangunan (IGAD) menyatakan solidariti dengan Somalia dalam memerangi keganasan selepas serangan terbaharu ke atas Hotel Hayat.
"PBB mendoakan mereka yang cedera segera pulih, dan menyatakan solidaritinya dengan semua rakyat Somalia dalam menentang keganasan," menurut PBB di Somalia.
Setiausaha Eksekutif IGAD Workneh Gebeyehu mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dan blok Afrika timur akan terus meningkatkan kerjasama serantau serta antarabangsa untuk memerangi semua bentuk keganasan.
EU turut mengecam sekeras-kerasnya serangan pengecut ke atas hotel itu dan mengucapkan takziah kepada mereka yang terjejas.
Serangan itu sama sekali tidak akan menggugat usaha untuk membantu dan menstabilkan Somalia, menurut EU.
Menurut polis pelampau meletupkan dua bom tangan di luar hotel berkenaan pada Jumaat petang sebelum menyerbu ke dalam bangunan tersebut dan menyerang pasukan keselamatan yang telah mengepung bangunan itu.
"Sebanyak 95 peratus daripada bangunan itu berjaya dikawal. Terdapat mangsa termasuk kematian dan polis akan memberikan butirannya secepat mungkin," lapor televisyen Somalia.
Tentera Kebangsaan Somalia (SNA) yang disokong Misi Kesatuan Afrika mengusir al-Shabab dari Mogadishu pada 2011, tetapi kumpulan itu masih melancarkan serangan menyasarkan kemudahan kerajaan, hotel, restoran dan tempat awam.
-- BERNAMA