Maskot Sukan Komanwel Birmingham 2022 hasil rekaan anak Malaysia

Agensi
Mac 25, 2021 18:47 MYT
Maskot yang dinamakan Perry itu direka oleh Emma Lou dari Bolton, Greater Manchester. - Gambar Instagram Birmingham 2022 Commonwealth Games
BIRMINGHAM: Maskot rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang baru didedahkan, cukup istimewa kerana ia bukan sahaja hasil rekaan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, tetapi kerana pencetus ilham itu merupakan anak Malaysia.
Maskot yang dinamakan Perry itu direka oleh Emma Lou dari Bolton, Greater Manchester.
Difahamkan, ibu bapanya berpindah dan menetap ke United Kingdom pada 2007.
Rekaan itu dipilih menerusi sebuah pertandingan peringkat nasional.
Nama Perry yang dipilih merujuk kepada Perry Barr di Birmingham, di mana Alexander Stadium akan menjadi tuan rumah acara pembukaan dan penutupan.
"Rasa seolah-olah saya sedang bermimpi. Saya memilih lembu jantan kerana Bullring di Birmingham, dan saya memutuskan untuk menggunakan heksagon kerana ia bentuk paling kuat dan saling bergantung antara satu sama lain.
"Saya sangat teruja kerana berpeluang menunjukkan hasil rekaan saya kepada seluruh dunia," katanya kepada BBC.
Sukan Komanwel Birmingham akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos tahun depan dan akan menjadi acara sukan paling mahal yang diadakan di Britain sejak Olimpik London 2012.
Maskot itu juga akan dihidupkan melalui augmented reality yang membolehkan ia digunakan pengguna Facebook dan Instagram dalam versi animasi.
Ketua Eksekutif Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ian Reid berkata, Perry menepati ciri-ciri maskot yang diinginkan iaitu berwarna-warni, bertenaga serta mewakili komuniti Birmingham moden dan West Midlands.
"Perry meraikan kepelbagaian, warisan komuniti dan wilayah kita serta masa depannya.
"Mulai hari ini, Perry akan menjadi ikon yang kuat untuk Birmingham 2022 dan akan kerap dilihat orang ramai menjelang temasya itu nanti," kata Reid lagi.
#Sukan Komanwel Birmingham #Perry #Britain #London #United Kingdom #sukan #Emma Lou
;