Masjidil Haram, Masjid Nabawi akan dibuka tidak lama lagi - Sheikh Sudais
Astro Awani
April 30, 2020 08:10 MYT
April 30, 2020 08:10 MYT
DUA masjid suci umat Islam - Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah - akan dibuka tidak lama lagi sebaik sahaja masalah penularan COVID-19 dapat ditangani.
Perkara itu diumumkan Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais melalui Twitter haramain.info pada Rabu.
Menerusi ciapannya, Sheikh Abdul Rahman berkata, keadaan dijangka kembali normal di dua masjid suci tidak lama lagi dan ini adalah perkhabaran gembira buat keseluruhan umat Islam.
Menurutnya, dua masjid suci itu akan dibuka untuk tawaf dan solat, serta ziarah terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Namun, tegasnya, pihaknya tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan membuka dua masjid tersebut kerana perlu mengambil semua langkah pencegahan yang perlu demi kebaikan umat Islam
"Sekali lagi, kami menyeru semua umat Islam agar terus berdoa semoga pandemik ini selesai, berdoa untuk kebaikan pemimpin kita (Penjaga Dua Masjid Suci) sambil menerima bahawa apa yang dilakukan ini adalah yang terbaik.
"Semoga Allah melindungi mereka," kata Imam Besar Masjidil Haram itu.
Menurutnya, teknologi moden akan digunakan untuk memperkukuhkan langkah pencegahan bagi menangani pandemik global itu.
Beliau sebelum itu menyaksikan pelancaran penggunaan kamera termal di pintu masuk Masjidil Haram.
Arab Saudi sebelum ini menggantung sementara solat tarawih di dua masjid suci di Makkah dan Madinah, serta ibadah umrah, bagi mengekang penularan COVID-19.
Sehingga Rabu, Arab Saudi mencatat sebanyak 21,402 kes jangkitan COVID-19 dan 157 kematian.