Masjidil Haram ditutup pada Hari Wukuf dan Aidiladha

Agensi
Julai 22, 2020 18:12 MYT
Masjidil Haram ditutup kepada jemaah untuk hari Wukuf dan Aidiladha. - Reuters
Masjidil Haram akan ditutup pada Hari Wukuf dan Aidiladha demi keselamatan jemaah serta persiapan ibadat haji tahun ini.
Pegawai Keselamatan Jeneral Muhammad Al-Ahmadi memaklumkan persediaan tahap pertama menjelang ibadat haji sudah selesai dengan aspek kesihatan sebagai fokus utama tahun ini.
"Kami memberi fokus utama kepada aspek kesihatan tahun ini terutamanya ketika situasi pandemik ini. Persediaan seterusnya akan diteruskan pada hari-hari akan datang," jelasnya.
Memetik laporan Arab News, antara persediaan keselamatan yang sudah dilakukan termasuk mengawal kemasukan dan keluar jemaah ke Masjidil Haram, selain memastikan penjarakan sosial dan keberkesanan langkah terhadap COVID-19.
Arah perjalanan untuk tawaf mengelilingi Kaabah juga ditetapkan termasuk menuju ke Bukit Safa dan Marwah sudah dibuat selain hanya mereka yang mempunyai kebenaran rasmi dibenarkan memasuki Masjidil Haram.
Oleh itu, Masjidil Haram ditutup kepada jemaah untuk hari Wukuf dan Aidiladha.
"Keputusan menangguhkan solat di Masjidil Haram termasuk kawasan luarnya akan diteruskan. Kami menggalakkan penduduk Mekah berbuka puasa pada Hari Wukuf di rumah masing-masing," katanya.
#Aidiladha #COVID-19 #Hari Wukuf #Masjidil Haram #Mekah
;